Pages

Friday, November 21, 2008

anak laki-laki

anak laki-laki tak boleh dihiraukan panjang
hidupnya ialah buat berjuang
kalau perahunya telah dikayuhnya ke tengah
dia tak boleh surut pulang
meskipun bagaimana besar gelombang.

biarkan kemudi patah
biarkan layar robek
itu lebih mulia daripada membalik haluan pulang

-pepatah Bugis

Wednesday, November 12, 2008

Kussmaul, da Vinci dan exam

The heart... runs on its own and does not stop until forever.
- Leonardo da Vinci-

jantung, begitu juga ilmu, sampai bila-bila, insyaAllah!

dahagakan ilmu-Mu, sepertinya Kussmaul breathing dahagakan udara!

dalam gear kelima, exam dalam seminggu lagi. Full throttle, yes we can!

doakan, kawan-kawan!

Saturday, November 08, 2008

kacau

Awan hitam mendung lagi
Mendung di langit Kota Kinabalu
Segalanya menjadi muram
Laut bergelora ombak bergelombang

Laut kelabu
Anak anak kapal haru biru
Sang nakhoda tidur layu
Gegak gempita alam yang kaku

Udara semakin tipis
Bahaya ada di mana-mana
Kencang, angin kencang!
Gelora, ombak bergelora!

Jiwa-jiwa menjadi kacau
Langgar ke mana, usah peduli
Dalam jiwa, ada jiwa
Dalam isi, ada hati

Kencang mana, angin kencang
Kencang lagi hati ini
Gelora mana, laut bergelora
Gelora lagi jiwa ini


Tuesday, November 04, 2008

aku menulis

Peperiksaan akhir tahun menggamit setiap hari dan setiap detik. Mentelaah itu dan ini, memerhati itu dan ini, berfikir itu dan ini. Setiap orang punya strategi tersendiri, punya jadual yang tersendiri. Bila terpandang wajah mereka, walaupun dalam senyum riang dan gelak tawa, terbayang kegusaran, kerisauan dan seribu satu pertanyaan tentang peperiksaan.

Begitu juga aku. Kesamaran terhadap apa yang bakal ditanya menambahkan lagi debaran demam peperiksaan. Terus terang, teknik spotting questions takkan berhasil, dan amalan membuat soalan-soalan past year tak pernah wujud dalam universitiku, kerana ia tak boleh diberikan kepada students (walaupun kadangkala kami mendapatnya secara “haram” daripada senior-senior) Pun begitu, soalan-soalan pasti ada perbezaan dari tahun ke tahun.

Itu baru peperiksaan bertulis. Macam mana pula dengan peperiksaan amali? Mendebarkan, kadang kala meletihkan. Peperiksaan amali paling kugemari, walaupun setakat ini, prestasiku sederhana sahaja.

Menarik sebenarnya, bila kadangkala terfikir, sebaik sahaja sebelum tidur ataupun ketika menanti azan Maghrib, betapa masa berlalu dengan begitu pantas semenjak dua menjak ini. Terlalu pre-occupied dengan peperiksaan barangkali. Banyak perkara perlu dikorbankan. Blogging salah satunya. Aku tak pernah secara lansung menyatakan kenapa aku menulis. Mungkin boleh dinyatakan secara ringkas kali ini.

Aku menulis untuk memahami. Memahami tentang... apa-apa perkara yang ingin aku fahami. Lalu kenapa perlu blogging ? Kenapa tak lakarkan sahaja pada buku catitan dan tak perlu hebahkan pada alam maya ? ...Untuk berkongsi. It never ceased to amaze me just how different human beings are in terms of the way of thinking and giving opinion. Aku meraikan perbezaan pendapat, aku meraikan pengalaman insan-insan lain (sepertinya rakan-rakan blog ku di sebelah). Tapi aku tidak punya skill untuk menyampaikan secara lisan, perbincangan pun selalunya berakhir dengan aku mendengar saja, dan debat angan-angan selalu terhad dalam otakku saja. Dan, mungkin kerana itu, aku gemar membaca. Dan lama kelamaan aku menjadi lebih mudah ‘terkesan’ melalui pembacaan dari kata-kata.

Terlalu banyak yang boleh dipelajari daripada seni tulisan. Jika tidak, tak wujudlah kata pujangga “mata pena lebih tajam dari mata pedang”. Apa keistimewaannya? Susah nak diterangkan di sini, cuba dulu, baru tau! Dan janganlah ada di antara pembaca yang tersalah anggap aku menidakkan mereka yang petah berbicara dan berdebat, itu juga salah satu kurniaan Tuhan yang aku kagumi, cumanya aku lebih suka tulisan. Tak salahkan jika kita memilih?

Ringkasnya, secara skematik, bila timbul satu persoalan atau isu, aku mulai dengan membaca, berfikir dan menulis. Setiap input perlu ada output. Dan aku memilih tulisan sebagai medium output.

Speaking of output, sebenarnya ada beberapa entri yang sepatutnya aku siarkan sebelum entri kali ini, tapi tak jadi. Sebabnya pelbagai, karangan mati separuh jalan, idea yang tak cukup “masak” untuk diolah dan sebagainya. Jadi, didorong dengan perasaan berhutang pada diri, aku listkan di sini ibu-ibu idea. Maaf tiada olahan, barangkali anda boleh olahkannya?


1. Isu bersumpah

Ramai yang bersumpah, dengan nama Tuhan. Fenomena yang berlaku seolah-olah menampakkan upaca bersumpah itu adalah kemuncak untuk kita menunjukkan bahawa ada suatu saksi (Tuhan) yang kredibilitinya tak tertanding, suatu kuasa besar yang tahu sahaja apa yang kita lakukan.

Tapi sedarkah kita bahawa, setiap kali kita sembahyang, kita juga bersumpah pada tahiyat akhir bahawa tiada Ilah selain Allah? Ini sahaja sudah mencukupi untuk kita, kalau kita insafi maksud sebenar “sumpah“ ini, menjadi insan yang takut melakukan kejahatan, menjadi Muslim yang lebih baik. Lalu, kita akan lebih cautious dalam setiap tindak tanduk kita, barangkali?

2. Objektif

Ada bebrapa isu yang ingin disentuh disini, tapi aku pening macam mana nak sambungkannya, maksudnya dari segi susunan idea. Tapi idea pokoknya ialah.. Apakah kita sedar kenapa kita wujud di muka bumi ini, kenapa kita diberi tanggung jawab sebagai seorang anak, suami (siapa pulak ni? hehe), seorang rakyat Malaysia, seorang manusia, seorang student universiti, seorang Muslim? Apa ertinya? Apa kesannya? Kenapa pun kena fikirkannya?

3. Pendapat

Isu Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris (bukan dah basi ke isu ini?) Aku tidak menentang atau menyokong, cumanya yang ingin aku suarakan di sini, cara perlaksanaannya tidak kena pada objektif atau matlamatnya. Harus dingingatkan, aku tidak menafikan kepentingan bahasa Inggeris dan pada masa yang sama aku juga kecewa pada pandangan-pandangan oleh mereka yang sudah putus harapan pada bahasa Melayu, baik untuk bahasa perantaraan mahupun bahasa akademia. Bahasa Melayu, padaku, punya potensi, sedia menunggu sang peneroka yang ghairah.

Untuk isu ini, pendapatku mudah sahaja (mungkin). Kita perlu perhatikan objektif utama. Kerajaan mahu rakyat Malaysia yang fasih berbahasa Inggeris. Fine, aku tidak punya masalah tentang statement ini. Memang banyak faedahnya. Tapi langkah untuk memperkasakan penguasaan bahasa itu melalui subjek Matematik dan Sains adalah tidak tepat! Apa yang berlaku, murid-murid hanya tahu tolak itu substract, daya itu force, nisbah itu ratio. Dengan kata ringkas, kita hanyalah belajar terma-terma dalam bahasa Inggeris, penguasaannya lansung tak ada!. Itu sahaja! Perhatikan mahasiswa-mahasiswa kita. Tidak perlu pergi lebih jauhlah, aku paparkan di sini, sedutan suasana diskusi pelajar perubatan.


“ Eh, kalau total peripheral resistance meningkat, ada effect pada cardiac output?

“ Ada la. Tapi dia ada banyak factors. Ko taukan clinical manifestation dia?”

Just sikit-sikitla. Ha, bagi lima causes atau diseases yang menyebabkan total peripheral resistance meningkat ?” ……


Aku tak rasa hasrat murni kerajaan untuk membudayakan bahasa Inggeris itu tercapai melalui cara ini. Para pelajar masih lagi berfikir dalam bahasa Melayu, cuma terbiasa menggunakan terma dalam bahasa Inggeris, supaya tampak lebih sophisticated dan cool (hehe).

Bahasa ialah medium komunikasi. Jadi cara terbaik untuk menguasainya, padaku, ialah belajar bahasa sebagai alat komunikasi! Lalu, apa cara yang paling sesuai? Itu… entahlah, aku cuma pelajar perubatan, aku tidak punya ilmu bagaimana hendak menyelesaikan masalah ini.

Ada beberapa rakan yang memandang sinis, mungkin aku ni kelihatan ultra bahasa Melayu pada kaca mata mereka. Aku tidak memaksa siapa-siapa menelan novel-novel sasteraku, begitu juga aku tidak pernah lantang menidakkan mereka yang mengatakan belajar bahasa ini remeh. Juga, tidaklah aku mengatakan, wahai sahabat, tinggalkan pelajaran perubatanmu dan belajar sastera. Tidak, no, la, nehi, nein , bu zhi. Aku tidak berminat menghuraikanya di sini, Cuma aku ingin sekali mengajak kita merenung, kenapakah kebanyakan ilmuwan Islam; ibn Sina (kerna kita pelajar perubatan!) ibn nafis, alzahrawi dsb, menguasai lughah (ilmu bahasa Arab) dan nahu sebagai salah satu cabang ilmu mereka? Adakah kerana mereka terpesona pada seni bait-bait syairnya semata-mata? Atau adakah kerana hiburan semata-mata, kerana pada zaman itu tiada mp3 player atau ipod? Adakah sesuatu yang mereka cari dan dapat dari bahasa? Eh, bukankah Sayyid Qutb ialah seorang sasterawan? Ada sesuatu yang kita tidak tahu ?

Di akhir entri ini, aku berharap tema utama isu ini dapat dihadamkan iaitu “setiap benda ada fungsi dan objektifnya, dan kita kenalah melaksanakannya selari dengan itu.” Lalu aku akan panjangkan dan kaitkan dengan entri nombor dua; Lalu apa objektif kita sebagai manusia/muslim?

Sebenarnya, jika diteliti, pola aku menghuraikan sesuatu isu adalah sama sahaja. Bermula dengan satu isu, analisisnya, hujah pro dan kontra, kesimpulan dan yang paling penting padaku, apakah kita dapat belajar sesuatu daripadanya dan dapatkah kita aplikasikannya pada soal-soal lain?


"Dan apakah mereka tidak berjalan di muka bumi, lalu melihat bagaimana kesudahan orang-orang yang sebelum mereka, sedangkan orang-orang itu adalah lebih besar kekuatannya dari mereka?..."
al faathir:44


"Sekali-kali jangan (demikian)! Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan . maka barangsiapa yang menghendaki, tentulah ia memperhatikannya,"
Abasa :13-14


Aku fikir, ini adalah satu sifat yang perlu ada dikalangan mahasiswa, jika tidak, wujudlah mahasiswa yang tidak peka dan tak ambil pusing pasal hal ehwal semasa, seperti yang selalu dibising-bisingkan dalam media massa. Jika ini berlaku, alangkah...alangkah ruginya :(


I stand to be corrected in all my opinions and writings.

Aku perlu sambung study. Assalamualaikum, wallahua’alam.

Monday, September 22, 2008

10 terakhir

  1. Intro
    • Kalimah Basmalah
    • Syukur, puji dan agungkan kebesaran-Mu, ya Tuhan
    • Selawat dan salaam pada Rasul junjungan
    • Pohon keampunan diri, keluarga dan sekelian umat Islam
    • Sejahtera dan peliharalah ummi dan abi, ampunkan dosa mereka, sesungguhnya mereka banyak berjasa mendidikku
    • golongkan aku menjadi anak yang tahu balas budi.

  1. Diri
    • Ampun, ampun, ya Allah, ampunkanlah
    • berikanlah daku ketenangan dan hidayah-Mu
    • tanamkahlah benci kepada kekufuran dalam diriku
    • agungkanlah agama-Mu dalam hati ini
    • runtuhkanlah jahilyyah dalam hati ini
    • lembutkanlah hati ini, lunakkanlah ia dengan Nama-nama Mu
    • Kurniakanlah daku kekuatan, kesihatan dan kecerdikan
    • Bantulah daku dalam menghadapi liku hidup sehari-hari
    • Bantulah daku dalam pelajaranku, Na wil Qulubana ya Allah, taqalbi Rasulika ya Allah

  1. Saudara-saudaraku
    • Ampunkanlah saudara-saudaraku
    • Bantulah mereka dalam setiap apa yang dihajatinya
    • Peliharalah hamba-hamba-Mu
    • Bebaskanlah dan sejahterakanlah saudara-saudara kami di Al-Quds, Iraq, Bosnia, Kashmir, Selatan Thai, fi kulli makan wa fi kulli zaman
    • Utuhkanlah ikatan hati-hati kami ya Allah, bantulah kami dalam Jalan kepada Mu
    • Kembalikanlah ’izzah kepada Islam dalam hati rakan-rakan seusiaku, kembalikanlah rijal-rijal agama ini ya Allah
    • Sinarkanlah ruh-ruh Islam dalam setiap hamba-hamba Mu

  1. Pengakhiran
    • Ya Tuhan,berikanlah keselamatan di akhirat, sihatkanlah tubuhku, tambahkanlah ilmuku, berkatkanlah rezeki-ku

Allahumma inni nas aluka salamatan fiddin, wal afiyatan fil jasaad, waziyadatan fil ilmi, wabarokatan firrizqi

    • Ya Tuhan, berikanlah kesempatan untukku taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan sesudah mati

wa taubatan qoblal maut, wa rahmatan ‘indal maut, wa maghfirotan ba’dal maut.

    • Ya tuhan, permudahkanlah aku menghadapi kematian, masukkanlah aku ke Syurga dan bukan neraka,

Allahumma hawwin ‘alaina fi sakaratil maut, wannajata minannar, wal afwa indal hisaab

    • Ya tuhan cabutkanlah nyawaku dalam husnul Khotimah dan lindungilah aku dari suuil khotimah

Allahumma inna nas aluka husnul khotimah, wa na'uudzubika min suuil khotimah

  1. Outro
    • Rabbana aatina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah Wa Qiina Adzabanna
    • Subhana robbika robbil idzaati amma yasifuun, wasalamun ‘alal mursalin. Walhamdulillahirobbil alamin

************************************************

Mari imarahkan 10 Ramadhan yang terakhir. Moga bertemu Laylatul Qadr!

Friday, September 19, 2008

G

Habuk- habuk berterbangan. Jalur-jalur cahaya mengenai kaki G. G malas nak alihkan kakinya, walaupun terasa bahang mentari seolah-olah membakar hujung-hujung kakinya. G rasa, G perlukan kehangatan itu, buat sementara waktu.

G tak punya teman apa-apa. Dunianya kini adalah bilik empat segi kecil berbumbung tinggi. Di depan bilik dipagari dengan jeriji-jeriji besi dan tingkap hanya ada satu, itu pun berjeriji juga. Pangkin tidur boleh lipat ada di sudut bilik, bertilamkan tilam lusuh, penuh dengan pijat-pijat ; G serik nak tidur lagi di situ lagi. Di sudut lain ada jamban kecil, dan singki untuk basuh muka. Lain daripada itu, kosong… tapi G lantas tersenyum, apa lagi mahunya? G berada dalam penjara!

G memeluk tubuhnya, bersandar dan melunjurkan kakinya. G menghela nafas, mengeluh panjang. G intai kalendar kertas yang ada di atas meja pengawal penjara.. 23 Januari. Jadi, sudah lebih kurang 3 bulan G dipenjarakan. 3 bulan... G rasa macam sudah setahun! Siang dia rasa terseksa, malam dia rasa panjang. G rasa bosan dan sunyi, aktiviti yang dia buat hanyalah senaman pagi yang telah dirutinkan kepada semua banduan. Kadang-kadang, semasa bersenam, G tersengih. G teringat saat-saat semasa dia di sekolah dulu; G juga bersenam pagi bersama-sama rakan-rakannya. G rasa aneh, dulu dia menyumpah aktiviti sengal itu, sekarang dia rasa seronok dan teruja pula. Tetapi, kelas-kelas kemahiran dan kerohanian anjuran jabatan penjara G pandang sepi. G tak pernah berminat untuk mendengar apa yang cikgu-cikgu (di penjara, warden dipanggil cikgu) dan juga ustaz-ustaz jemputan ajarkan. G dengar, tapi dia lupa sebaik saja dia pakai selipar jepun dan melangkah pergi dari surau/kelas.

Seingat G, G tidak pernah dilayan buruk, kerana dia bukan banduan kelas jenayah. Banyak cikgu-cikgu yang ramah, tidak kurang yang suka menegur, tapi G tidak berminat untuk membalasnya. Sikap G yang malas menjawab sebenarnya bersebab, dia malas hendak bersosial di tempat yang dia sendiri benci. Cuma bila ada yang senyum, dia senyum kembali. Itupun kalau sudah lebih dua saat, G rasa gatal untuk menawarkan manis senyumnya.

G ingat, G tidak punya pelawat. Maksud G di sini, pelawat peribadi, ataupun sosial, baik dari ahli keluarganya mahupun tunangnya. Entahlah, G dengar-dengar, sebaik sahaja perbicaraan di mahkamah tamat tempoh hari, tunangnya sudah memaklumkan keputusannya untuk memutuskan hubungan itu, Itupun G tahu dari polis yang mengiringnya. Boleh senyum pula polis yang seorang itu bila dia beritahu G berita itu! Kurang asam, kalau tidak kerana digari, sudah lama G sekeh kepala polis yang keding itu.

Pelawat tunggal G ialah peguam syarikat tempat G bekerja. Itupun, bila berjumpa, G hanya tenung kosong muka peguam berbangsa singh itu. G nampak mulut singh itu berkata-kata dan sibuk menunjukkannya kertas ini dan fail itu, tapi G rasakan seolah-olah dia melihat rancangan television yang suaranya telah di mute kan. Setelah itu, G ucapkan terima kasih dan keluar dari bilik pelawat. Barangkali singh itu menyumpah tindakan G dalam senyap, dia bermati-matian untuk mempertahankan anak guamnya itu, tapi G buat tak endah sahaja. Terima kasih yang diterima hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga. Tapi G malas nak hiraukan. Biarlah.

Tentang familinya, G juga keberatan untuk berfikir tentang itu. G tahu, umminya begitu memendam rasa terhadap apa yang G alami sekarang ini. G tahu umminya sedih, umminya sayangkan dia, umminya sebenarnya prihatin terhadap dirinya. Tapi G sedar keretakan hubungan abi dan ummi yang sudah berabad lamanya membuatkan ummi semacam orang yang sudah runsing. Ummi terlalu bergantungan pada abi. Umminya yang sudah tua itu tidak boleh ke mana-mana kerana tidak tahu memandu kereta. G yakin, ummi mesti mau melawatnya, cuma abi sahaja yang tak mahu. Abi... mungkin abi bukan sahaja tak mahu, tapi mungkin lebih dari tak kisah. Tak kisah pasal ummi. Balik ke rumah pun jarang-jarang, inikan pula mau melawatnya, satu hapah pun tak ada. G cukup sengsara pasal itu. Pekerjaannya sering terganggu. Fokusnya senang dikacau.

Akhir sekali, pekerjaannya... ah, pergi jahanam sama itu pekerjaan!

Sebelum dikurung, G adalah seorang arkitek. Arkitek muda untuk syarikat konsultan pembinaan gergasi di benua eropah. Macam mana seorang budak comot (G) dari kampung kebun getah tempat Chin Peng dibesarkan itu boleh sampai ke tahap itu? G yakin, tak lain tak bukan, Rahmat dari Ilahi. Tapi G juga cepat-cepat sedar dari syok sendirinya itu, kurniaan itu datang bersama kepayahan, tanggungjawab dan keperitan. G akui, berbanding teman-temannya, G paling cepat mendaki tangga kerjaya, G paling awal merasa manisnya kejayaan yang biasanya dirasa oleh arkitek yang dah lama established. Lakaran-lakaran bangunan yang diilhamkan oleh G memukau sesiapa yang memandang, baik dari zaman universitinya dahulu sampailah sekarang. Tak pernah gagal untuk menerima pujian, tidak pernah gagal untuk mengundang rasa iri hati colleagues nya. G gelak memikirkan itu semua, fakta ini padanya sama sekali tidak membanggakan, apalah yang nak dibanggakan? G mula-mula gelak kecil, dan kemudiannya diikuti dengan gelak yang lebih besar. Jika tidak kerana pengawal pemjara yang bertempik suruh G diam itu, pasti G sudah gelak guling-guling. Barangkali dia fikir G sudah gila.

Lamunan G kemudiannya terarah pada projek bangunan terakhirnya. G rasa itulah projek terulungnya, lain dari yang lain. Projek mega, katanya. Blueprint yang dibentangkan dihadapan client nya di pejabatnya di Lausanne, Switzerland, menerima pujian yang melangit, dan tanpa ragu-ragu lagu projek itu segera dilaksanakan. G senyum, shake hand bersama clientnya dan terus meninggalkan board room sebaik sahaja urusan selesai. Majlis cocktail yang dijadualkan selepas mesyuarat itu dia malas hendak ikut. Begitu juga undangan peribadi clientnya untuk dinner di rumah besarnya di Kehlsteinhaus, di pergunungan Alps itu ditolaknya mentah-mentah.

Sebenarnya, G tidak sedap hati tentang hasil kerjanya itu. G sedar, perasaannya lain ketika melakar bangunan pencakar langit itu. G tidak menjiwainya. Itulah sebenarnya sikap G, G tidak memandang apa yang dibuat sebagai satu kerjaya, tapi sebagai minatnya, his passion. Tetapi projek kali ini tidak sebegitu. G tidak tahu di mana silapnya, G cuba rujuk kepada pakar-pakar yang lain, tapi semuanya bagi green light, proceed.

Dan ternyata, tak lama setelah bangunan itu siap, pada tanggal 19 Oktober, bangunan yang gah di langit Bern, Switzerland itu runtuh menyembah bumi. Ribuan jiwa terkorban, yang ada dalam bangunan, di luar bangunan, hinggalah yang sedang minum kopi di Café berhampiran. G tergamam bila mula-mula dikhabarkan berita itu. G terduduk di kerusinya, dan pada waktu itu juga peguam singh itu muncul, memberinya nasihat undang-undang dan menyuruhnya menyiapkan dokumen itu dan ini. Siap-siap untuk perbicaraan, katanya. G angguk lemah, melihat peguam itu keluar dari pejabatnya, tapi G tidak mahu berbuat apa-apa. G hanya duduk, merenung pada pada pemandangan di luar bangunan. Dan tidak lama kemudian dia ditahan, dibicarakan dan didapati bersalah kerana skuad penyiasat melaporkan bangunan itu runtuh kerana kesilapan rekaannya. G angguk faham bila hukuman dibacakan, tanpa perasaan, tanpa emosi. Keluarnya G dari mahkamah, mata G silau dek flash dari kamera SLR para wartawan. Tapi wajah yang dicari G tidak ada di situ; wajah ummi.

Dan sekarang, G berada di sini, menjalani hukuman penjara. Mahkamah mendapati dia bersalah, tapi G tidak pasti, bagi pihak dirinya, siapa yang patut disalahkan. Hati kecil G berbisik, projeknya is destined to doom since its very beginning. Tapi kenapa?

G tidak tahu. G harap orang diluar sana boleh membantu.

Wednesday, September 17, 2008

L

L tunduk. Gelap, sunyi, dan semuanya terasa lembap. Sejuk juga. Titis-titis air yang kadangkala singgah di hujung bootnya yang lusuh itu kerap membuatkan L tersedar kembali, mengikatnya pada alam yang berwaktu. Punggungnya sudah lama kebas, tapi L buat tak tahu, banyak lagi perkara yang perlu dihiraukan.

L mencongak-congak, rasanya sudah hampir 3 hari dia duduk di situ, berbekalkan air yang menitis dari stalagtit dan cokelat cadbury yang ada sebungkus dua. Cahaya yang masuk hanyalah berupa jalur-jalur nipis, dan bunyi-bunyi yang menjadi halwa telinga datangnya dari deru angin yang berpusu-pusu masuk dari celahan batu kapur. L sebenarnya dalam pendakian ke puncak gunung. Mendaki seorang diri. Pergi berseorangan, jadi susah dan senang pun patut berseorangan fikirnya.

Hujan lebat membuatkan dia singgah ke gua yang dia tak pernah tahupun kewujudannya, meski sudah berulang kali ke gunung itu. Aneh ini, fikirnya. L masuk untuk berlindung... berlindung, berlindung dari apa? Bajunya sudah basah kuyup. Dan dia insan yang tak suka membawa barang yang lebih dari apa yang dia perlukan (kadang-kadang yang perlu pun dia tak bawa). Lantaran itu, baju lebih dia tak ada, baju tebal pun dia tak ada. L masuk ke gua dengan perasaan curiga. Bukan apa, transisi mendadak dari kebasahan dan kebisingan hujan lebat kepada ketenangan dan kemisterian atmosfera gua itu membuatkan dia pelik, dan rasa pelik sering membuatkan L pening tak tentu fasal.

L memeriksa dan mendapati geografi gua itu seaneh first impressionnya. Agak curam ditengah, ada terusan kecil di situ dan terdapat semacam tebing tinggi di kanan gua. L daki tebing itu, dan dia menemukan satu ceruk berhampiran bumbung gua itu. Tidaklah besar sangat, muat-muat dia seorang, punya pengaliran udara yang bagus dan mempunyai pandangan terus ke pintu gua. Bagus, boleh rehat sebentar.

Rupanya rehat sebentar yang disangkanya itu berpanjangan hingga keesokan hari, dan bersambung pada hari-hari berikutnya. Entah kenapa, L rasa malas hendak menapak keluar. Cuaca sudah elok, dan beberapa ketika, boleh nampak gerombolan budak sekolah sedang mendaki. Entah kenapa juga, L terasa sengal untuk berbicara kepada sesiapa...em, mungkin tidak untuk beberapa hari ni. L terasa nyaman di situ. Dia terasa waktu telah dibekukan, walaupun kadang-kadang diingatkan oleh titis air yang memberi irama yang statik, beritma tetap dan senada.

L kadang kala terasa lucu, apalah yang nak dibuatnya di situ. Macamlah dia tak ada tanggung jawab di pejabatnya di kota. Tapi ingatannya ke tempat itu cepat-cepat dihalaunya keluar dari fikirannya. Begitu juga hubungannya dengan seorang gadis cina di pejabatnya. Ah, gadis cina itu! Manis dan sopan. Ibunya tentu suka. L senyum lagi, namun ditamparnya pipi kiri berulang kali, kerana mungkir janji untuk tidak memikirkan hal itu sekarang. Lalu L membiarkan hal-hal lain datang dan berlalu dalam kotak fikirannya, seolah-olah dia sedang berada dalam sebuah teater, di mana dia sahajalah penontonnya, dan apa yang dipentaskan itu adalah fikirannya. L mengamati setiap apa yang dipentaskan. Ditelaahnya, dibeleknya dan disiasatnya untuk memahami apa yang tersurat dan yang tersirat, tapi tanpa ada unsur emosi atau kecenderungan mempengaruhi fikirannya. Dia cuba menjadi objektif dan non-judgemental.

Begitulah hari-harinya berlalu. L tidak berasa bosan, malah seronok. Hidupnya di situ senang. Lapar? makanlah cokelat. Haus? tadahlah air stalagtit. Tapi keseronokan itu tidak kekal lama. L tidaklah begitu kecewa, dia faham benar bahawa keseronokan itu memang pendek umur. L terasa aneh, bila dia cuba memahami hakikat fenoma ini : Kalau dia bergerak-gerak, macam terkejar-kejar urusan di pejabat, akalnya berhenti berfikir. Kalau dia berhenti bergerak, macam apa yang dilakukannya di gua ini, akalnya bergerak laju pula. Haruskah dia berhenti setiap kali mau berfikir? Apakah jasad itu berbeza dari ruh-nya? Ada yang boleh mengikat? L tersenyum, dia perlu pencerahan, debat angan-angannya tak akan ke-mana-mana, dia perlu satu penjelasan konkrit dan tasawwur yang absolut.

Tiba-tiba L terasa mahu ke terusan yang ada di lantai gua. L turuni tebing curam dan mencangkung di gigi terusan. Jernih airnya, pasti sejuk, dan alirannya begitu lembut, seolah-olah kain sutera yang membelai kulit perawan Arab. Walaupun tidak jelas, L boleh mengecam bayang yang dia nampak pada permukaan air. Ya, itulah dia, rambut yang kusut masai, mata yang sembap, sungguh tak terurus.

L cedok air dengan dua belah tangannya, brrr, sejuk! L sapu air itu ke mukanya. Dengan tidak semena-mena, L sinsingkan lengan bajunya, L sapu air pada tangan kanan dan kiri, kemudian ke rambutnya, telinga dan kedua belah kakinya. L tergamam, aktiviti fizikal yang baru berlaku ini berlaku dengan begitu pantas, dengan begitu automatis, dengan diluar kawalannya, in his subconscious mind. L terduduk ke belakang, bingung. Walaupun di luar kawalannya, hati L tetap merasakan segala pergerakannya tadi pernah menjadi rutin hidupnya satu ketika dulu. L takut, jin gua mana yang merasuk aku ini? Tapi L tidak menafikan, jiwa L terasa lapang, terasa seolah-olah dia mendapat kembali barang yang telah lama hilang, macam ketika dia terjumpa kembali pen fountain tip Parker hadiah hari jadi pemberian gadis Cina itu yang telah lama hilang dari mejanya. Oh bukan, rasa seronok ini lebih lagi, L tak mampu nak ucapkan.

Tanpa disedarinya, L menangis. Tapi L seka air matanya. Dan dia kembali tersenyum. Dia tergelak memikirkan betapa cuaknya pendaki yang melintasi guanya itu jika mereka terdengar L menangis, hantu mana yang meratap ni? L juga percaya, masalah tak dapat diselesaikan dengan menangis, tetapi L juga akur, kadangkala menangis adalah perlu untuk meruntuhkan egonya, membuatkan dia sedar bahawa dia juga ada masalah.
L menoleh dan merenung pintu gua, dia lihat pemandangan yang cerah, rumput yang menghijau, bau yang menyegarkan. Menenangkan.

Monday, September 15, 2008

T

Udara semakin sejuk. Awan hitam berarak pelan-pelan di kaki langit. Langit menjadi begitu kelabu. Gunung-gunung di lembah sudah berubah wajah. Namun T tidak pasti sama ada wajah itu marah, sedih ataupun muram.

Yang pasti, T kini berdiri kaku di tengah-tengah bendang. Bendang yang lapang, luas sejauh mata memandang. Di utara nampak awan-awan hitam, di selatan nampak gunung-gunung. Di kiri dan kanan tidak ada apa-apa, selain petak-petak sawah dan juga kerbau-kerbau malas. T anak jati lembah itu. T membesar, belajar, mengaji, bermain, bergasak, makan, berak dan kencing di situ. Cuma di usia remajanya sahaja, T sempat berkelana di bumi asing. Bumi yang tidak ada petak-petak sawah, tali-tali air, hatta bau busuk najis kerbau pun tidak ada. Mula-mula T agak kalut menyesuaikan diri di bumi asing, hampir-hampir pitam bila T mula-mula turun bas. Rupa-rupanya, becak lumpur petak sawah dan busuk hancing bau kerbau yang dibencinya dulu, sebenarnya sudah sebati dalam diri T. Seakan-akan T tidak boleh berenggang lansung dari pada bau-bauan itu.

Dan kini T pulang ke bendang kesayangannya itu. Tapi pondok buruknya sudah tidak ada. Barangkali sudah dirobohkan oleh penduduk kampung yang takut kalau-kalau pondoknya itu nanti jadi sarang penagih dadah atau tapak 'projek' remaja-remaja yang dah biul. T tersengih seorang diri, macam apek kena loteri. Mana aku mau duduk sekarang, fikir T.

T terduduk, mencangkung di tepi batas, bersama-sama luggagenya. Sekali sekala beberapa gadis dengan basikal tua yang bunyinya macam orkestra tak jadi lalu lalang tak jauh dari tempat T mencangkung. Daripada rias-rias wajah dan gerak mulut gadis-gadis itu, T dapat mengagak, pasti mereka sedang galak mencemuh dan mengejeknya. Apalah yang mamat ni nak buat mencangkung di tengah-tengah bendang ni? Buang tabiat agaknya. Tapi T buat tak hirau, dia kenal sangat fiil gadis-gadis kampungnya itu. Dan gadis gadis itu, lantaran melihat muka T yang macam perompak bersiri itu, tak buang masa lama-lama di situ, angkat kaki dan terus cabut.

T kini kembali keseorangan, kembali menjadi insan sepi. Di saat itu jugalah suasana bendang yang tadinya suam-suam kuku bertukar menjadi sejuk. Sejuk sampai T terasa jantungnya menggigil kerana kesejukan ditiup angin. T merasa cuak, takut dan bimbang. T tidaklah terlalu bodoh untuk tidak dapat mengecam tanda-tanda ribut petir akan melanda bendangnya itu sebentar lagi. Malah T dapat mengagak berapa knot kah angin kencang itu bakal bertiup, berapa mililiter kah air hujan yang bakal turun dan berapa sentimeterkah paras air bendangnya akan naik. Daripada tanda-tanda gelapnya awan hitam dan sejuknya angin yg bertiup, T dapat meneka. T arif benar.

Cumanya, apa yang menghairankan, atau lebih menakutkan T sebenarnya, mengapakah kakinya enggan bergerak? Apa kejadahnya masalah aku sekarang ni? T terasa kakinya macam sudah disimen rapi ke dalam tanah. T toleh ke kiri dan kanan, kalau-kalau ada insan yang boleh dipinta tolong. Sepanjang ingatan T, biasanya waktu-waktu ni, paling kurang pun, boleh nampak remaja-remaja tabligh dengan jubah putihnya sedang berziarah dari pintu ke pintu, dan pondoknya takkan terlepas. Namun hari itu tak ada pula, mungkin dah pulang awal sebab ribut akan melanda.

Macam mana ni, T melaung sekuat-kuat hati. Tolong!!!

Setelah T terasa anak tekaknya hampir-hampir nak terkeluar, barulah T berhenti. Namun tidak ada juga insan di kiri dan kanannya. Yang ada hanyalah awan hitam, petak sawah, gunung-gunung dan kerbau-kerbau... ah, kerbau! T tau, kerbau adalah spesis yang tak terkesan oleh perubahan cuaca itu. Lihatlah, tak berganjak pun dari pusat berkubangnya itu, dan pandangan wajah selamba dan acuh tak acuh kerbau-kerbau itu lagilah menghanginkan hati T.
Hujan mulai turun, renyai-renyai dan lama kelamaan menjadi semakin lebat. T dah tak nampak apa-apa pun. Guruh dan kilat yang sabung menyabung di langit memekakkan telinganya. T takut, dia cuba menutup mukanya dengan satu tangan dan memeluk tubuhnya dengan tangan yang lain. T keseorangan melawan hujan, angin dan guruh yang rakus membantai tubuhnya yang sediakala kecil dan lemah. Kakinya tadi seperti disimen, kini seperti dirantai dengan besi waja. T menangis, namun tangisnya tak kedengaran kerana suasana terlalu bising.

Hujan terus lebat, angin terus kencang, guruh terus bergendang. T hendak menangis lagi, tapi air matanya sudah kering. Hatinya terasa sangat kecil, jiwanya remuk, fikirannya kacau.

T masih di situ, terduduk memeluk tubuh, ketakutan, menangis, menangis dan terus menangis...

Friday, July 18, 2008

the eye can't see what the mind doesn't know

sebenarnya sudah larut malam ketika aku mula menulis ini. mungkin sudah masuk awal pagi.

Kerja-kerja pembentangan kes mingguan baru siap, tak sangka ia akan memaksaku bersengkang mata sampai mcm ni. Tajuk yg bakal dibincangkan tampak ringkas dan mudah difahami; patient with shortness of breath, tp setelah membaca itu dan ini, memeriksa pesakit di sana dan di sini, payahnya, aduh, Tuhan saja yg tau! Tak apalah, jika itu yg diperlukan.

melangkah ke posting internal medicine mmg sesuatu yg aku tunggu2, walaupun pd hakikatnya, rasa sayang (er..hehe) dan minat pada bau-bau operation theatre dan ward2 pembedahan masih lagi berakar umbi dalam setiap lengkok cerebrum aku. minat utk menjadi surgeon akan kupastikan tidak terusik walau seindah mana ward PP1 atau blok D, betul Mus'ab? (itupun kalau kau baca tulisan kali ni la)...

antara ayat-ayat yg sering meniti di bibir consultant dan specialist di sini adalah:

"the eye can't see what the mind doesn't know" ;
"
mata tak mampu melihat apa yg tidak diketahui akal".

terlalu kerap sampai seakan-akan aku mengalami deja vu setiap kali untaian kata itu menggegarkan tympanic membrane dan tetulang ossicle aku. namun setiap kali itu jugalah, aku memaksa neuron-neuron otakku agar bekerja keras, berhempas pulas menjawab soalan-soalan yg diajukan. rasanya hampir-hampir putus =)

sebetulnya, ayat yg berbau sinis itu akan diterima oleh mana-mana medical student yg gagal mengenal pasti tanda-tanda atau simptom-simptom fizikal pesakit. kalau extensive pre-reading tidak dibuat dan tidak proaktif semasa ward round, mmg peritlah semasa menjawab nnt. Mmg susah hendak mengecam benda yg kita tak tahupun kewujudannya!

Sekadar utk menggambarkan situasinya, lihat gambar di bawah ini. nampak sekilas pandang semua rashes ini adalah sama, tapi semuanya berbeza! tersilap cam, tersilaplah diagnosis, tersilaplah ubat! Esok keluarlah muka Dr XYZ di hadapan akhbar utama akibat 'kecuaiannya'.

benar, hanya jauhari yang mengenal manikam. hanya org yg tahu dapat membezakan itu dan ini, antara dyspnoea dan tacypnoea, antara aortic regurgitation dan mitral regurgitation, antara Anwar dan Shabery... oh, tiada ruang utk politik kali ni! maaf!

pembaca yg budiman, repekan dan omonganku di atas tidak lain dan tidak bukan hanya utk mementaskan apa yg sedang berlari-lari, bermain acah-acah dalam frontal lobe ku pada waktu ini. Eloklah kiranya jika aku rumuskan di sini agar , harap-harapnya, aku dapat merenung sejenak secara jelas dan objektif, celotehku kali ini =)

  1. Ilmu itulah yg membezakan kita semua. org yg berilmu itu mulia di sisi manusia dan Tuhannya.
  2. org yg berilmu dapat membezakan mana yg benar, mana yg salah.
  3. dan melalui latihan, ujian, praktikal dan cabaran sahajalah yg ilmuan itu dpt menzahirkan kembali apa yg diketahuinya. Dengan cemerlang!
point2 ini akhirnya membawaku kepada epilog entri kali ini. Islam dalam diriku, sepertinya ilmu, perlu melalui disiplin yg sebegini rupa. apakah cukup ilmu ku? apakah sudah ku laksanakan semuanya? apakah sudah ku abadikan hidupku utknya?

Ya Rabbi, berilah hidayah-Mu...

Wednesday, June 25, 2008

so close, yet so far

2.30am, 3308 meter atas paras laut

suasana sejuk mengigit tulang sumsum. kabus tebal, lembap dan udara terasa nipis. malam pekat menghitam.
angin kencang, begitu kencang sampai aku rasa macam nak melayang.
700meter lagi utk sampai ke puncak! puncak gunung kinabalu.

gunung kinabalu. gunung itu punya tempat yg istimewa dalam hati aku.
aku mula menyimpan angan-angan utk ke gunung itu sejak dari sekolah menengah lagi. aku juga ingin menurut langkah bapaku yg sudah menawan puncak gunung itu ketika usianya kira-kira sebaya denganku sekarang. setiap kali memandang gambar gunung itu, setiap kali jugalah hatiku terasa begitu sejuk, terasa awan mistis mula menyelubungi jiwaku. terasa jasadku melayang-layang ditiup angin disana nnt.

namun, rencana utk ke puncak pada awal subuh pagi itu tidak kesampaian. angin ribut, hujan dan kabus tebal menyelubungi gunung kesayanganku itu. memang sukar utk bergerak, aku tak nampak satu apapun walaupun dgn bantuan lampu picit. akhirnya mountain guide memutuskan utk tidak meneruskan pendakian, risiko nampaknya terlalu besar utk diambil. namun aku tetap berkeras mahu pergi, begitu juga sebilangan ahli grup. takkanlah.. dah jauh kami mendaki, dari jauh kami dtg, dah lama kami merancang, dah banyak kami melabur, dah lama kami bermimpi, takkan nak berhenti! rugilah! walau apapun alasan yg diberi oleh mountain guide, kami tetap berdegil, sehinggalah beliau memberi kata dua; "puncak atau nyawa". kami akur. seorang ahli grup yg lebih senior menepuk bahuku sambil berkata, kalau di Everest, seasoned climber sekalipun akan mendegar kata sherpa.

pagi itu aku hanya mampu memandang puncak gunung dgn mata hati yg begitu pilu. aku kecewa yg teramat sgt. aku turun ke bawah dengan perasaan hampa. mungkin ramai yg kurang mengerti, biarlah. padaku, utk pendakian kinabalu hari itu bukanlah semata-mata utk menawan puncaknya, bukanlah semata-mata utk sekeping sijil yg bererti apa-apapun. bagaimana harusku gambarkan nikmatnya berada di puncak gunung, seronoknya bersusah payah demi satu matlamat, takjubnya hati melihat agungnya ciptaan Tuhan, kerdil dan hinanya diri disisi alam yg luas, pilu dan insafnya rasa hati tatkala menyembah Tuhanku yg Satu didalam kesejukan angin gunung? tak..takkan tergambar,takkan terzahir.

Igauan kegagalan menghantuiku utk beberapa hari. sudah beberapa malam aku tidak lena tidur. Mungkin perancanganNya lain utkku. Self post-mortem dan muhasabah diri yg dilakukan banyak menenangkan jiwa, banyak meruntuhkan egoku, banyak mengajarku benda yg tak mungkin aku pelajari dengan hanya menelaah buku ataupun kitab. Aku rasa, aku mendapat pengajaran yg paling praktikal utk erti redha. mungkin...

benda yg paling aku nak, itulah yg aku tak dapat. It is so close, yet it is so far.

Qul hu-Allah hu-Ahad!

Friday, June 13, 2008

Gembira, bangga & tersenyum

Selamat Pengantin Baru, Tahniah, Barakallahu lakuma... =)
Akh. Nasrul Muhaimin & Ukht. Fatihah.Nasrul Muhaimin & things we have in common:

i) sekolah menengah yg sama. Dia Form5, aku Form1

ii) sama-sama dalam pasukan kriket sekolah

iii) sama-sama orang Perak!

iv) di bawah satu scholarship yang sama

v) menuntut di universiti yg sama

and the list does not stop here... to brother Nasrul, keep on inspiring us! =)

Tuesday, June 03, 2008

fil imtihan

Baru pagi tadi selesai Peperiksaan Klinikal Objektif Berstruktur (OSCE). Percubaan baru. Stesen pertama untuk pembedahan, Administering anaesthesia & laceration wound suturing. Stesen kedua berkenaan laparoscopic cholecystectomy...

memang jauh dari apa yg aku jangka. hasilnya, cuma sekadar memuaskan. agak kalut di stesen pertama, examining surgeon dan tutor cuma tersengih, aduh.. stesen kedua alhamdulillah, baik pula cardio-thoracic surgeon yg seorang tu kali ni! =)

masih ada lagi beberapa siri peperiksaan. salaam peperiksaan utk sahabat2 sekalian, tak kira di mana jua anda berada. Ma'a taufiq wannajah fil imtihan.

ilmu perubatan(dan juga yg lain2, tentunya) perlu diuji. adakah aku benar2 faham dan yakin dgn apa jua yg dipelajari? bolehkah aku aplikasikan? atau aku akan membisu dan gugup ketika "dibom" dengan soalan-soalan berbisa oleh sang examiner?

itu ilmu. bagaimana pula dengan imanku?kenapakah perlu diuji? apakah bentuk ujiannya?


"Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?" al-ankabut : 2

Sunday, May 11, 2008

=)

ini ada satu cerita

"Beras yang paling murah ada dik, yang 10kg?"

" em..ha, yg ni bang, XXX..."

"berapa dik?"

"RM27.90 .. "

"takpelah, terima kasih.."

.... abang itu kemudiannya berlalu pergi. Beberapa ketika, dia muncul lagi, belek-belek kampit beras itu td. Kemudian berjalan pergi lagi... sampailah kali ketiga, dia ambil juga kampit beras itu.

sambil tersenyum tawar, " abang ada anak ramai, dik...org susah "

****
dikarang semula, seperti yang diceritakan oleh sahabat-ku, yg bekerja di salah sebuah pasaraya.

Tuesday, May 06, 2008

jemu

"tanpa kenal lelah jemu
sampaikan firman Tuhan-mu"

Sang Murabbi

Tuesday, April 22, 2008

jiwa

Beberapa rakan baik sering bertanya, membuatkan aku tersenyum-senyum ketika menjawabnya.Tersenyum bukan kerana malu, gembira atau suka, tetapi kerana aku sendiri tak tahu ekspresi muka yang bagaimana harus aku tontonkan untuk aku cerminkan sejujurnya hasrat dan impian dalam dadaku ini.

Aku cukup kental percaya bahawa setiap antara kita ada potensi, ada kelebihan, ada kekuatan. Dan barangkali insan yang terbaik untuk mencungkil dan memacu kelebihan yang ada itu adalah tidak lain dan tidak bukan, diri kita sendiri. Lalu, persoalan seterusnya adalah ke manakah arah potensi diri yang cemerlang itu kita laburkan?

Ada beberapa unsur yang aku ingin sematkan kukuh dalam hati ini. Pertama, unsur pemuda. Aku memandang zaman pemuda itu zaman penerokaan, pembentukan jati diri, penuh dengan kekuatan dan semangat, sarat dengan idea yang berani, kritis dan juga kreatif. Wahai pemuda sekalian, kita adalah aset berharga, kita adalah permata agama, kita mampu merubah dunia! Islam telah membuktikan betapa pemuda, jika molek pembentukannya, punya peranan yang begitu signifikan dalam lipatan sejarahnya. Ayuh rakan-rakanku, segala usaha perlu kita gerakkan, segala kudrat harus kita kerahkan, segala tenaga perlu kita mobilisasikan. Yakinlah, kita punya potensi, kita punya kapasiti yang tiada tolok bandingnya.

Jadi, mau kita gerakkan ke mana? untuk apa ya?

******

"Aku mengimpikan negeri ini dipenuhi pemuda seperti Abu Ubaidah al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim (hamba Abu Huzaifah). Lalu aku meminta tolong dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah" - Umar r.a.


Friday, April 11, 2008

Teh, Karipap

karipap panas

aku cuba makan tepinya (yang rangup tuu) sahaja.
hmm, macam tak lengkap

aku cuba makan kelongsongnya sahaja
..pun rasa tak lengkap

aku cuba makan intinya (kari daging) sahaja
tak puaslah, bukan karipap namanya

aku cuba makan semua
ha, barulah karipap! sedap!

...
begitu juga Islam, tidak boleh dipandang dari satu sudut sahaja,

bukan untuk difahami secara juz'ie, bukan juga untuk diterjemah hanya dari satu perspektif.

Islam? Karipap? apa-apa lah..

Tuesday, April 08, 2008

suara dari dalam lautan

blup, blup..

tolong... makin lemah suaraku
makin lemah kayuhanku
makin kabur pandanganku
makin aku..hilang semangat

dunia kini menjadi biru
silau matahari tidak lagi merimaskan
tiada lagi udara untukku nafaskan
sayup-sayup kedengaran suara-suara
berbicara bahasa yang asing dan aneh

blup, blup...

aku sudah putus asa
sudah tenggelam punca
apakah akhiran hidup mudaku
sebegini tragis?

alangkah kerdilnya diriku
lemah diamuk gelora ombak laut
kepada siapa pula kini
harusku sandarkan harapanku?
inginku adukan untung nasibku?

blup, blup...

selamat tinggal mama, papa
selamat tinggal abang, akak
baru pagi tadi kita makan bersama
baru tadi kita tertawa bersama

selamat tinggal dunia.
adik pergi dulu..

blup, blup,blup...........

salam takziah utk ahli keluarga.
salam tazkirah utk kita semua.

Sunday, March 30, 2008

rangkai nyawa

Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?
As-saff : 2

"tegakkan Islam dalam dirimu dahulu, nescaya Islam akan tertegak di sekeliling kamu"

perlahan tetapi pasti.

jangan sedih, jangan lemah diasak paluan ujian. kita sentiasa diperhatikan.

tidak perlu canang pada dunia tentang kebaikan kita. juga tidak perlu gusar ketika dunia meragui kita.

apalah kiranya ada pertolongan yang lebih bermakna dari pertolongan sang Pencipta?


Gambar di atas memang tak ada kena mengena dgn entri kali ni. jadi kenapa mengada-ngada nak post juga gambar? barangkali tak dapat menahan keseronokan dan rasa geli hati.

beberapa pemuda sedang cuba-cuba masak tom yam. cuba, jangan tak cuba!

Sunday, March 23, 2008

try

Yatta!

- tp nasi lembik sikit, kurang rasa.
- masih ada ruang utk diperbaiki.

Thursday, March 13, 2008

mata

Seorang anak lelaki, lingkungan belasan tahun, perlahan-lahan, dengan penuh hati-hati menyuapkan bubur nasi panas ke dalam mulut emaknya yg disyaki menghidap penyakit breast ca. with multiple organs metastasis. Prognosis? mungkin rendah.

Esoknya, ketika ward round sesi pagi, didapati si emak tidak mahu bersarapan selagi anaknya itu belum sampai. Hampir bergenangan air mata, aku perhatikan, di kelopak mata ward sister. juga mungkin di 'kelopak mata hatiku'.

apakah mungkin aku mampu berbuat sedemikian?

jangan bicara pada dunia jika aku masih angkuh, sombong dan lupa diri.

Sunday, March 09, 2008

gangga negara

Baikkah? Burukkah? aku tak pasti..

Bergerak terus, maju terus!

Halangan tetap ada, aral tetap melintang, esok pasti akan datang.

Background : Dr. Zul yg tak balik lg dari mengundi. Pulanglah, hehe.

Wednesday, March 05, 2008

maaflah!

sekejap sahaja, ok? aku bukan nak meraih undi!

dalam ruangan surat pembaca Utusan Malaysia (04/03/08), ada satu surat daripada seorang mahasiswa bertajuk "Kesedaran mengundi kalangan belia kurang? " . Aku terasa sangat gatal utk 'appraise' surat ini.

Isinya lebih kurang menceritakan tentang 'kelesuan' semangat berpolitik di kalangan mahasiswa yang; menurut sang mahasiswa, ditafsirkan melalui kurangnya peratus belia yang mengundi dalam pilihanraya. Juga disebutkan sifat tidak peduli, akibat tak mengundi, masa depan, dan lagi, dan lagi, dan...

Syabas utk beliau yang menulis. tetapi, di kala kita teriak-teriak soal semangat politik, pernahkah kita terfikir "kenapa kebanyakan belia tak nak mengundi? kenapa tak peduli pasal politik?"

Apakah dianya masalah pokok kepada semua simptom-simptom 'ketidak-pedulian' ini?

Jadi salah belia-lah kalau semua pakat main futsal pada hari mengundi (sebab cuti)? atau shopping?

Apa ya, impression atau tanggapan belia terhadap politik? Politik itu arena manusia bercakaran utk pangkat, perseteruan dan perbalahan, pergelutan utk kuasa dan kebendaan...jadi, barangkali kita berasa jijik utk bermain lumpur bersama-sama org politik. lalu kita pinggirkan diri dari kacau-bilau dan hiruk-pikuk politik.

..or is it? betulkah politik sedemikian rupa? betulkah kalau kita buka lipatan sejarah politik, kita tak akan menemukan apa-apa melainkan kesengsaraan, penindasan atau kezaliman? seolah-olah sudah lenyap kebahagiaan, keamanan dan kemanusiaan. should it be in that way? must it always be in that way?

Kita tak akan peduli kalau kita rasa benda tu tak berkaitan dengan kita, tak penting dan tak relevan.

Jadi, memang bukan salah kita kalau kita tak mahu berpolitik..

memang bukan salah kita kalau kita tak ambil tahu pasal politik

memang bukan salah kita kalau kita tak peduli pasal apa-apa pun!

...or is it?Barangkali tidak. setidak-tidaknya, aku tak fikir begitu.

Kita tak boleh nak menyalahkan orang kalau dia tak peduli. mungkin dia tak tahu...

Terlalu serius? maaflah. sebetulnya aku sedikit emosi tatkala menatap akhbar itu pagi ini ketika menunggu MO utk ward rounds. bukan, bukan sbb politik. mungkin sbb aku lihat liputan berita utk serangan terbaru Israel terhadap saudara-saudara-ku di Palestin sangat ciput. Ya, seperti di atas, mungkin berita itu tak penting.

.. or is it?

Sunday, March 02, 2008

aktiviti ahad

pagi

check basikal dulu.

-gear? ok...

-brake? ok...

-fork depan? ok...

-chain? ok...

-derailer? ok...































partly, it is one of my hobbies. my sports. Tapi, more importantly, tahun ni aku berbasikal ke hospital. jadi, extra precaution perlu diambil kira, hari tu aku hampir-hampir 'eksiden' sbb brake tak 'makan'!

Ha, lepas ni, aku gardening! hobi baru yang dipromote oleh beberapa org sahabat, dan juga Tuan Rumah. Aku sendiri tak pasti dan tak mahir, but just have it a go-lah, see how things work.
















kat background gambar ni ialah member aku. hehe, sorilah mus'ab, aku letak gambar kau tanpa your consent =)
















lepas ni, kita masak, makan, solat dan terus study...

hari ahad aku jadikan sebagai hari rehat, hari koreksi diri, hari persediaan. Kadangkala, dalam keghairahan kita mengejar sesuatu, seringkali kita lupa untuk berhenti sejenak, menilai kembali apa yg telah terjadi, menimbang tara, dan merencana utk hari esok.

if you fail to plan, you plan to fail.

adakah aku terlalu tua utk berbicara pasal ini? lantaklah. aku cuma mengharap, aku tidak reput di dalam perjalanan, lelah termakan dek ujian masa dan keadaan.

cheers!

Saturday, March 01, 2008

Muhasabah.
Perlu ikhlas, yang benar bro! Berbalik pada niat. Berbalik pada hati, Qalb.

Sahsiah.
Kawal lisan. Hmm, lisan adalah cermin isi hati. Berbalik pada hati, Qalb.

Study.
Perlu lebih rajin, konsisten, tersusun. Tetapi aku perlu cekal, tak terhanyut, tak 'sejuk'. Maka, berbalik pada hati, Qalb.

I need some implosion; I had enough of meaningless explosions!

...perlu ada bekalan, aku tidak sekuat mana! Pade doh, =)













pic by kukubesi

Wednesday, February 27, 2008

lidah mereka!

"... revolusioner apa'an? "

- Hok Gie -