Sunday, May 29, 2011

updates

Sedar tak sedar, kurang lima minggu lagi aku akan ke bumi Australia untuk menamatkan ijazah sarjana muda ini pada akhir November nanti. Alhamdulillah, final exam dah lepas, cuma tinggal lagi beberapa disiplin khusus yang perlu aku sudahi. Yang berbaki setakat ini:

1. Paediatrics (HSA, JB)
2. Obstetrics and Gynaecology (HSA, JB)
3. Cardiothoracic Surgery (MMC, Melbourne)
4. Geriatric Medicine (Kingston Hospital, Melbourne)

Untuk Elective, aku memilih Emergency & Critical Care Medicine. Entah kenapa, aku rasa seronok dalam bidang ini. Betul, untuk pertama kalinya sejak memulakan pengajian perubatan hampir enam tahun lepas, akhirnya ada satu disiplin ilmu yang membuatkan aku looking forward setiap hari dan berminat untuk pergi lebih jauh.

Jujur aku merasakan, penguasan aku terhadap ilmu perubatan sebenarnya tidaklah begitu menyerlah, sekadar memuaskan, tetapi aku cukup suka pada prosedur-prosedur perubatan yang bersifat operatif, seperti mengambil darah, IV Cannulation, pembedahan, dsb. I like to get my hands dirty, bro. Dan, aku merasakan, disiplin Emergency adalah yang terbaik untuk aku rebut peluang-peluang sebegini.

Cuma, yang memeningkan aku sekarang ialah, flight aku telah diawalkan atas sebab-sebab tertentu, menyebabkan aku tidak dapat hadir pada minggu terakhir di Obstetric nanti. Mahu tak mahu, aku terpaksa korbankan juga minggu itu, dan pelan aku sekarang ialah untuk mengkompromikan semua cuti sabtu ahad aku, untuk gantikan kembali hari-hari yang tertinggal. Teruk lah aku nanti, takda cuti..

Tapi tak mengapalah, fokus aku sekarang ialah untuk menghabiskan degree ini, dan mempersiapkan diri untuk melangkah ke marhalah yang baru. =)

Buat masa sekarang, pilihan dan fikiran semakin terarah kepada Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Mohon doa dan restu daripada semua. 


"Calves are easily bound and slaughtered,
never knowing the reason why.
But who ever treasures freedom,
like the swallow has learned to fly."


Donna Donna - Joan Baez




an-naba'

Pernah, suatu ketika dulu, aku diberitahu bahawa sebab utama pilihan raya kampus (PRK) di universiti-universiti Indonesia (atau di sana disebut universitas) mendapat perhatian serius adalah kerana, antara lain, kemenangan dalam PRK turut mengesahkan beberapa kerusi perwakilan dalam Dewan Perwakilan Rakyat republik berkenaan.

Dengan kata lain, kuasa legislatif negara, di samping keistimewaan-keistimewaan lain, menanti sang pemenangnya. Maka, secara serta-merta, PRK dan politik kampus menjadi lubuk yang 'rasmi' untuk pelbagai pihak.

Partai-partai politik melihat perkara ini sebagai medan yang subur untuk mengukuhkan lagi cengkaman kuasa politik masing-masing, dan tidak kurang juga terdapat individu-individu yang berjuang semata-mata untuk melindungi hasrat memperkayakan diri dengan kemewahan material.

Kita tinggalkan dahulu perkara itu. Semalam, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa terdapat pertimbangan serius dari pihak kerajaan untuk menubuhkan 'Parlimen Belia', yang fungsinya seakan salah satu medan 'suara rakyat/belia' untuk mengutarakan usul dan cadangan, yang seterusnya akan dibahaskan oleh 'abang-abang/kakak-kakak besar' di parlimen negara.

Tanpa mahu mengupas dari segi strategi/taktik/motif politik DS Najib itu, aku merasakan bahawa ini suatu peluang yang sangat baik untuk beberapa perkara berikut:
  1. Langkah awal untuk mematangkan, atau yang aku rasa lebih utama di fasa ini; untuk merelevankan, politik kampus
  2. ...yang secara tidak langsungnya, akan mempersediakan pemimpin-pemimpin politik, atau yang aku rasa lebih utama; pemimpin-pemimpin masyarakat, yang competent pada masa akan datang
  3. Menyediakan sarana yang baik untuk pengembangan interaksi pemikiran dan intelektual rakyat Malaysia yang bercirikan silang-budaya dan silang-agama
  4. Medan pertemuan dan 'kilang penghasilan' tokoh-tokoh belia di peringkat nasional dan seterusnya di peringkat global.
Aku rasa, samada hijau atau merah, biru mahupun pelangi, akan melihat perkembangan mutakhir ini sebagai salah satu peluang yang sangat berharga untuk dilepaskan.

Akan tetapi, kerisauan aku adalah, apakah parlimen yang bakal tertubuh ini akan menjadi fotostat kepada apa yang berlaku di parlimen negara sekarang?

Maksudnya, apakah parlimen belia ini akan hanya meneriakkan kembali isu-isu jelek dan sentimen-sentimen sampah yang begitu menghantui atmosfera politik negara kita sekarang? Apakah, dengan nada sinis, yang dibahaskan nanti hanyalah klip-klip youtube adegan panas tokoh-tokoh mahasiswa dan penyelewengan duit-duit kutipan kelab?

Apakah kita akan mengulangi dosa-dosa pemikiran politik sempit orang-orang terdahulu?

Jawapannya terserah kepada kita sekarang.

Sebab itu, aku merasakan, suara yang perlu diperjuangkan oleh golongan mahasiswa dan juga belia adalah suara rakyat. Perjuangan mereka adalah dengan membawa isu-isu dan keluh-kesah rakyat dalam kerangka pemikiran akademik untuk seterusnya diketengahkan secara intetelektual dihadapan para pemimpin negara.

Menyorot kembali sejarah Malaysia, tidak, bahkan juga sejarah dunia, perjuangan mahasiswa kampus yang matang akan bersikap intemediary, medium antara sang pemerintah dan rakyat. Mereka akan lantang membela nasib rakyat negara itu dan pada masa yang sama akan mengasuh dan membentuk masyarakat seperti yang dicitrakan oleh prinsip pembangunan negara yang saksama.

Masanya sudah tiba untuk kita mengakui, bahawa landasan di mana lokomotif negara kita berada sekarang sebenarnya menuju ke lembah kehancuran. Para belia sekarang harus sedar dan terjun ke medan perjuangan.

Jika tidak kita, siapa lagi? Jika tidak sekarang, bila lagi?




Saturday, May 28, 2011

home sweet home

third posters (L-R) : Chris, Nadia, Shahzea, Ang, Jay, Shali, yours truly


*jenuh juga aku pujuk brader ambulan tu kasi aku spin sepam dua dgn ambulan ni on the last day in ETD, tp to no avail, haha.




Wednesday, May 25, 2011

tipu-tipu...

...kadang-kadang betul juga!

tak hairanlah kalau industri kesihatan alternatif boleh jadi kencang semacam.


"... and anything with a big-arse science machine can outperform any of them" =)


Sunday, May 22, 2011

buku-filia

"Some books are to be tasted, others to be swallowed, and some few to be chewed and digested: that is, some books are to be read only in parts, others to be read, but not curiously, and some few to be read wholly, and with diligence and attention." - Sir Francis Bacon.

Kata Mortimer Adler, tahap pembacaan tertinggi adalah pembacaan sintopikal; suatu gaya bacaan yang bukan sahaja mampu memuhasabah secara kritis bahan-bahan yang dibacanya, malah, ia mampu untuk menerbitkan gagasan idea yang segar lagi jitu, hasil dari analisisnya.

Sudah tiba masanya untuk masyarakat kita berhenti daripada terus menjadi masyarakat konsumer. Berubahnya masyarakat kita dari masyarakat petani/buruh kepada masyarakat industri tidak menjanjikan apa-apa sekiranya yang terhasil adalah buruh profesional semata-mata.

Kita perlu menjadi bangsa pencipta.

Bangsa yang mencipta adalah bangsa yang bukan sahaja berpengetahuan luas, tetapi bangsa yang berkeperibadian dan berbudaya. Bangsa yang punya jati diri.

Kalaupun kita berasa ia adalah suatu visi yang mustahil untuk jangka masa pendek, kita mulakanlah daripada yang asas - membaca. Dan bacalah, dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Ubahlah statistik pembacaan rakyat Malaysia yang sangat hodoh itu.

Kini barulah aku faham (setelah 7 tahun), mengapa Ibnu Khaldun meletakkan keperibadian sebagai salah satu ciri, disamping pencapaian-pencapaian teknikal, dalam sebuah peradaban.



nota kaki: apa khabar agaknya 'saudara' Zakaria, Azizi dan Said di sana? =)



Saturday, May 21, 2011

Junbi wa dekimashita ka?


Dalam akhbar The Star yang bertarikh 20 Mei 2011, pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah meluluskan cadangan untuk semakan semula proses saringan penerimaan calon-calon pemegang biasiswa pelajaran.

Maknanya, garis pandu yang bakal digunakan untuk memilih calon-calon semakin hampir kepada amalan meritrokrasi dalam ertikata yang sepenuhnya.

Maknanya, tidak ada lagi sebarang faktor pemberat untuk sesuatu kaum, agama, keturunan mahupun yang lain-lainnya.

Adakah kita sudah bersedia?
Junbi wa dekimashita ka?



Wednesday, May 18, 2011

f = ma, ∴ f - ma = 0?

Sering berlaku, terutama apabila kita diminta untuk menganalisis, kita cenderung melihat dari sudut teknikal semata-mata, dan jarang mahu melihat perkaitan antara yang tersurat dan yang tersirat.

Kegagalan untuk memelihara keseimbangan antara dua elemen ini menyebabkan kita terus terperangkap dalam arus berpusar, vortex, yang dahsyat dan ad infinitum.

Manusia idealis dan pragmatis perlu bertemu, berbincang dan bersepakat, agar lebih harmonis.

Tapi, buat masa sekarang, muzakarah seumpama itu pun sebenarnya amatlah idealistik sifatnya.



Tuesday, May 17, 2011

Bandar Tasik Selatan

Moga dimakbulkanNya dan dipermudahkanNya. Amin.


Sunday, May 15, 2011

Belia

Tidak akan berganjak kaki anak Adam di Hari Kiamat hingga disoal tentang empat perkara:
  • tentang usianya; pada apa dihabiskannya
  • tentang masa mudanya; apa yang telah diperjuangkannya
  • tentang hartanya; dari mana datangnya dan ke mana telah dibelanjakannya
  • tentang ilmunya; apa yang telah dibuatnya.
(Hadith sahih riwayat Tirmizi)

Jadi, sebenarnya, bukan hanya solat dan zakat sahaja yang ditanya nanti bro...



Wednesday, May 11, 2011

Teras

Bangsa yang global, menurut Allahyarham Rustam A. Sani, adalah bangsa yang aktif dan adaptive kepada arus dunia ( baca: ilmu pengetahuan, ekonomi, politik dll. ), tetapi tetap cekal dan waspada dalam menyaring pengaruh-pengaruh yang bersifat negatif terhadap bangsanya.

Ringkasnya, ia adalah seni untuk memelihara keseimbangan antara keterbukaan dan penolakan, dengan matlamat untuk terus maju kehadapan. Siapakah yang membuat penilaian-penilaian ini? Tidak lain dan tidak bukan; jati diri.

Soalnya, siapakah yang sebenarnya layak menjadi teras kepada jati diri itu?

Aku yakin, ia adalah Islam.

Islam yang syumul.

ِHai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu... (Al-Baqarah:208)


Tuesday, May 10, 2011

Pilihan

Semakin hari, semakin ramai orang yang berbicara tentang mempertahankan budaya. Dan, pada masa yang sama, jumlah orang yang mahu mengasingkan budaya dari kerangka hidupnya tidak kalah juga banyaknya.

Buktinya mudah. Panggilan-panggilan untuk 'kembali ke jati diri' dan 'pemerkasaan/solidariti budaya' mula memenuhi ruangan media massa - baik di dalam media arus perdana mahupun alternatif.

Tetapi, aku was-was, dalam kalangan mereka ini, belum tentu ramai yang mafhum apakah bentuk budaya yang mahu dipertahan atau ditentang itu. Juga, niat disebalik pendirian yang diambil belum tentu kukuh dan murni sifatnya.

Aku yakin, pemahaman rata-rata masyarakat kita terhadap fungsi dan erti budaya masih bersifat luaran dan dangkal. Di dalam satu khemah pemikiran, budaya mungkin bererti ketuanan bangsa, manakala di khemah yang lain budaya hanyalah tidak lebih daripada aktiviti ritualistik yang sampah.

Masing-masing saling label-melabel puak yang satu lagi. Sudah tak terhitung ramainya orang yang telah dicopkan 'pengkhianat bangsa' di dahi mereka, dan sudah tak terbilang ramainya orang yang telah dipakaikan tanda nama 'rasis & ekstremis' di dada mereka.

Secara jujur, aku merasakan polemik budaya ini bermuara dari kegagalan kita untuk memahami 'budaya' itu sendiri. Andaian-andaian liar yang telah kita sangkutkan pada leher lawan kita sebenarnya membelenggu kembali kaki-kaki kita.

Dan akhirnya, yang akan terus berpanjangan hanyalah prasangka dan prejudis, bukannya kejernihan hidup bermajmuk.

Yang kita harap-harapkan dapat memacu kemajuan, telah berubah menjadi api api kemusnahan.

Tepuk dada, tanya iman.


“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kaum (umat Islam) umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kami.” (Al-Baqarah: 143)


Monday, May 02, 2011

percaya

Melayu sepakat, Islam berdaulat.