Pages

Wednesday, September 17, 2008

L

L tunduk. Gelap, sunyi, dan semuanya terasa lembap. Sejuk juga. Titis-titis air yang kadangkala singgah di hujung bootnya yang lusuh itu kerap membuatkan L tersedar kembali, mengikatnya pada alam yang berwaktu. Punggungnya sudah lama kebas, tapi L buat tak tahu, banyak lagi perkara yang perlu dihiraukan.

L mencongak-congak, rasanya sudah hampir 3 hari dia duduk di situ, berbekalkan air yang menitis dari stalagtit dan cokelat cadbury yang ada sebungkus dua. Cahaya yang masuk hanyalah berupa jalur-jalur nipis, dan bunyi-bunyi yang menjadi halwa telinga datangnya dari deru angin yang berpusu-pusu masuk dari celahan batu kapur. L sebenarnya dalam pendakian ke puncak gunung. Mendaki seorang diri. Pergi berseorangan, jadi susah dan senang pun patut berseorangan fikirnya.

Hujan lebat membuatkan dia singgah ke gua yang dia tak pernah tahupun kewujudannya, meski sudah berulang kali ke gunung itu. Aneh ini, fikirnya. L masuk untuk berlindung... berlindung, berlindung dari apa? Bajunya sudah basah kuyup. Dan dia insan yang tak suka membawa barang yang lebih dari apa yang dia perlukan (kadang-kadang yang perlu pun dia tak bawa). Lantaran itu, baju lebih dia tak ada, baju tebal pun dia tak ada. L masuk ke gua dengan perasaan curiga. Bukan apa, transisi mendadak dari kebasahan dan kebisingan hujan lebat kepada ketenangan dan kemisterian atmosfera gua itu membuatkan dia pelik, dan rasa pelik sering membuatkan L pening tak tentu fasal.

L memeriksa dan mendapati geografi gua itu seaneh first impressionnya. Agak curam ditengah, ada terusan kecil di situ dan terdapat semacam tebing tinggi di kanan gua. L daki tebing itu, dan dia menemukan satu ceruk berhampiran bumbung gua itu. Tidaklah besar sangat, muat-muat dia seorang, punya pengaliran udara yang bagus dan mempunyai pandangan terus ke pintu gua. Bagus, boleh rehat sebentar.

Rupanya rehat sebentar yang disangkanya itu berpanjangan hingga keesokan hari, dan bersambung pada hari-hari berikutnya. Entah kenapa, L rasa malas hendak menapak keluar. Cuaca sudah elok, dan beberapa ketika, boleh nampak gerombolan budak sekolah sedang mendaki. Entah kenapa juga, L terasa sengal untuk berbicara kepada sesiapa...em, mungkin tidak untuk beberapa hari ni. L terasa nyaman di situ. Dia terasa waktu telah dibekukan, walaupun kadang-kadang diingatkan oleh titis air yang memberi irama yang statik, beritma tetap dan senada.

L kadang kala terasa lucu, apalah yang nak dibuatnya di situ. Macamlah dia tak ada tanggung jawab di pejabatnya di kota. Tapi ingatannya ke tempat itu cepat-cepat dihalaunya keluar dari fikirannya. Begitu juga hubungannya dengan seorang gadis cina di pejabatnya. Ah, gadis cina itu! Manis dan sopan. Ibunya tentu suka. L senyum lagi, namun ditamparnya pipi kiri berulang kali, kerana mungkir janji untuk tidak memikirkan hal itu sekarang. Lalu L membiarkan hal-hal lain datang dan berlalu dalam kotak fikirannya, seolah-olah dia sedang berada dalam sebuah teater, di mana dia sahajalah penontonnya, dan apa yang dipentaskan itu adalah fikirannya. L mengamati setiap apa yang dipentaskan. Ditelaahnya, dibeleknya dan disiasatnya untuk memahami apa yang tersurat dan yang tersirat, tapi tanpa ada unsur emosi atau kecenderungan mempengaruhi fikirannya. Dia cuba menjadi objektif dan non-judgemental.

Begitulah hari-harinya berlalu. L tidak berasa bosan, malah seronok. Hidupnya di situ senang. Lapar? makanlah cokelat. Haus? tadahlah air stalagtit. Tapi keseronokan itu tidak kekal lama. L tidaklah begitu kecewa, dia faham benar bahawa keseronokan itu memang pendek umur. L terasa aneh, bila dia cuba memahami hakikat fenoma ini : Kalau dia bergerak-gerak, macam terkejar-kejar urusan di pejabat, akalnya berhenti berfikir. Kalau dia berhenti bergerak, macam apa yang dilakukannya di gua ini, akalnya bergerak laju pula. Haruskah dia berhenti setiap kali mau berfikir? Apakah jasad itu berbeza dari ruh-nya? Ada yang boleh mengikat? L tersenyum, dia perlu pencerahan, debat angan-angannya tak akan ke-mana-mana, dia perlu satu penjelasan konkrit dan tasawwur yang absolut.

Tiba-tiba L terasa mahu ke terusan yang ada di lantai gua. L turuni tebing curam dan mencangkung di gigi terusan. Jernih airnya, pasti sejuk, dan alirannya begitu lembut, seolah-olah kain sutera yang membelai kulit perawan Arab. Walaupun tidak jelas, L boleh mengecam bayang yang dia nampak pada permukaan air. Ya, itulah dia, rambut yang kusut masai, mata yang sembap, sungguh tak terurus.

L cedok air dengan dua belah tangannya, brrr, sejuk! L sapu air itu ke mukanya. Dengan tidak semena-mena, L sinsingkan lengan bajunya, L sapu air pada tangan kanan dan kiri, kemudian ke rambutnya, telinga dan kedua belah kakinya. L tergamam, aktiviti fizikal yang baru berlaku ini berlaku dengan begitu pantas, dengan begitu automatis, dengan diluar kawalannya, in his subconscious mind. L terduduk ke belakang, bingung. Walaupun di luar kawalannya, hati L tetap merasakan segala pergerakannya tadi pernah menjadi rutin hidupnya satu ketika dulu. L takut, jin gua mana yang merasuk aku ini? Tapi L tidak menafikan, jiwa L terasa lapang, terasa seolah-olah dia mendapat kembali barang yang telah lama hilang, macam ketika dia terjumpa kembali pen fountain tip Parker hadiah hari jadi pemberian gadis Cina itu yang telah lama hilang dari mejanya. Oh bukan, rasa seronok ini lebih lagi, L tak mampu nak ucapkan.

Tanpa disedarinya, L menangis. Tapi L seka air matanya. Dan dia kembali tersenyum. Dia tergelak memikirkan betapa cuaknya pendaki yang melintasi guanya itu jika mereka terdengar L menangis, hantu mana yang meratap ni? L juga percaya, masalah tak dapat diselesaikan dengan menangis, tetapi L juga akur, kadangkala menangis adalah perlu untuk meruntuhkan egonya, membuatkan dia sedar bahawa dia juga ada masalah.
L menoleh dan merenung pintu gua, dia lihat pemandangan yang cerah, rumput yang menghijau, bau yang menyegarkan. Menenangkan.

No comments: