Monday, August 31, 2009

Leibniz

Gottfried Wilhelm Leibniz adalah seorang ahli matematik berbangsa Jerman yang terkenal sebagai ilmuwan yang serba boleh. Minat beliau tidak tertumpu semata-mata kepada bidang matematik, malah, lebih dari itu, menjangkau ke bidang falsafah, linguistik, teologi dan juga agama.


Antara adikarya ahli matematik itu ialah differential and integral calculus dan beberapa teori dan hukum fizik seperti dynamics.


Leibniz dibesarkan pada sekitar pertengahan abad ke 15. Pada ketika itu, kepesatan ilmu matematik dan juga cabang-cabang sains didominasi sepenuhnya dalam bahasa Perancis dan Latin. Leibniz memulakan persekolahan dan juga alam universiti dalam suasana masyarakat Jerman yang ta’asub kepada bahasa-bahasa itu. Malah, kebanyakan karya-karya matematiknya dinukilkan dalam bahasa Latin. Penguasaan bahasa-bahasa itu dianggap sebagai lambang status, lambang keilmuan.


Sekitar lewat 1670-an, minat Leibniz dalam bidang bahasa mula berputik dan beliau memulakan beberapa siri kajian dalam bidang itu. Leibniz beranggapan bahawa fungsi bahasa bukanlah semata-mata communication; ianya juga turut menyimpan khazanah ilmu pengetahun bangsa yang menuturkannya.


Dengan kata lain, menurutnya, ‘a more developed language is therefore a sign that greater levels of knowledge have been collectively achieved’.


Hasilnya, beliau berpendapat, terdapat keperluan mendesak untuk mengetengahkan bahasa Jerman, jika mahu bangsa Jerman dilihat sebagai salah satu daripada peneraju ilmu sains dan teknologi utama dunia. Menurut Leibniz dalam penulisannya ‘Einige patriotischen gedanken’ (A patriotic thought )




“I am of the opinion that nations that develop and perfect their languages thereby have a great advantage in sharpening their intellect. For one must affirm that words are not only signs with which we can reveal our intentions to others but also signs with which we can speak with ourselves, in our interior, and consider what experience shows...


When striking or well-differentiated words a common in a language, many good thoughts and insights are, as it were, available to the mind”




Menurutnya lagi, agak sukar untuk bangsa Jerman untuk menemukan penemuan-penemuan dan ilmu-ilmu baru, yang authentic untuk bangsa Jerman, jika mereka hanya kekal dalam bahasa Latin/Perancis. Apa yang sedang dan bakal berlaku hanyalah terhad dalam acuan Latin/Perancis semata-mata.


Gesaan yang sama turut disuarakan dalam penulisan-penulisan beliau yang berikutnya, seperti Ermahnung an die Teutschen, ihren Verstand und ihre Sprache besser zu üben.


Malangnya, pendapat-pendapatnya dipandang sepi oleh kebanyakan elit Jerman. Ada yang beranggapan bahawa bahasa Jerman tidak mampu menjadi bahasa ilmuan, hanya sesuai sebagai bahasa tempatan.


Bantahan terhadap gagasan idea Leibniz sebenarnya memang berasas. Tatabahasa bahasa Jerman ketika itu sangatlah tidak tersusun, dan perbendaharaan kata-katanya amat terhad. Tanpa ada disiplin dan piawai dalam penggunaan bahasa, mana mungkin bahasa itu sesuai untuk diangkat martabatnya sebagai bahasa ilmu.



Menyedari kekurangan itu, beberapa cendekiawan yang bersetuju dengan Liebniz memulakan beberapa kajian dan cadangan untuk memperkasakan semula bahasa Jerman. Segala kekurangan perlu dibaiki, dan bukannya setakat dikesali dan diratapi.



Di hujung kajian itu, mereka mengusulkan beberapa perkara kepada kerajaan Jerman, seperti:

1. membakukan bahasa Jerman dengan menyusun tatabahasa dan istilahnya,
2. menyebarkan bahasa Jerman kepada seluruh rakyat Jerman,
3. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa pengantar di sekolah dan universiti,
4. menggunakan bahasa Jerman sebagai bahasa pentadbiran negara,
5. menjadikan bahasa Jerman sebagai bahasa komunikasi umum dalam semua bidang dan peringkat.




Hasilnya, pada tahun 1748 terbitlah Grundlegung einer Deutschen Sprachkunst (Foundation of a German literary ) yang ditulis oleh Johan Christoph Gottsched.


Malangnya, Leibniz tidak sempat menikmati hasil ‘kerja’nya itu. Beliau tidak sempat melihat bangsa Jerman bangkit sebagai kuasa utama teknologi kejuruteraan dan permotoran dunia.


Siapalah rakyat Jerman ketika itu, termasuklah Liebniz, yang dapat menyangka, pada suatu hari nanti, 5 jenama gergasi dalam bidang automotive di dunia datangnya dari Jerman.


BMW (Bayerische-Motoren Werk, Perusahaan Automobil Bavaria), Mercedes, Audi, Volkswagen (Folks Wagon, Kereta Rakyat) dan Porsche.


Siapalah rakyat Jerman yang dapat menyangka, nama yang begitu ringkas punya nilai komersial yang tinggi dan cukup gah di arena antarabangsa.




Agaknya, mahukah kita membeli kereta kalau jenama kereta itu ‘Kereta Fitri’? =)

Merdeka!

Genaplah sudah 52 tahun Malaysia merdeka.

‘Merdeka dengan kata-kata, bukan merdeka dengan darah’, demikian menurut buku teks sejarah. Yang tersirat di sini, mungkin, menunjukkan betapa kewarasan akal fikiran dan kebijaksanaan mampu melakukan yang ajaib-ajaib, seperti menuntut sebuah kemerdekaan yang berharga.


Andaian yang lain terpulanglah kepada inidividu masing-masing.


Merdeka, ertinya bebas dari belenggu penjajah. Terjajah maknanya kebebasan hak adalah terhad. Itu kalau dari sisi sebuah negara. Bagaimana pula dengan agama?


Minggu lepas aku cuba melakukan sedikit fieldwork. Soalan aku ringkas sahaja, ‘Apa yang anda gambarkan tentang seorang Muslim?’. Yang ditanya ialah rakan-rakanku yang muslim dan non-muslim.


Hasil dapatan, rata-ratanya, berkisar kepada benda yang sama, seperti:

‘tak boleh minum arak’

‘tak boleh makan babi’

‘tak boleh seks sebelum kahwin’

‘solat lima waktu’

‘kena puasa, tak boleh makan dan minum’

‘tak boleh itu, tak boleh ini, tak boleh…’


Apa yang boleh aku simpulkan? Satu patah perkataan sahaja, iaitu restrictive. Kebanyakkan dari kita menganggap bahawa agama itu sarat dengan unsur-unsur restrictive, yang mengundang pelbagai batasan dan had.


Memang ada logiknya pun. Islam, selain dari erti bahasanya yang bermaksud sejahtera, menuntut penganutnya memperhambakan diri pada Yang Satu.


Hamba ertinya tidak merdeka, tidak bebas.


Lalu, bukankah semuanya sekarang masuk akal? Doesn't it make sense now?

Bahawa patutlah orang melayu itu mundur, kolot dan haprak di bumi sendiri. Kerana agama mereka sendiri bersifat semacam suatu pukat yang mengongkong. Persoalan terjawab.


So, you might well ask, bagaimana pula dengan kemajuan yang dikecapi oleh umat-umat Islam terdahulu, seperti zaman kegemilangan sains dan matematik Kerajaan Bani Abasiyyah dan lain-lainnya?


Bagaimana mungkin sebuah agama mampu merubah sebuah kaum yang teruk di bumi yang tandus dan gersang kepada kaum yang menggegarkan dunia? Yang meruntuhkan dua empayar besar dunia?


Apa..Islam mereka itu dengan Islam kita ‘lain’kah?

I believe the answer is ‘yes’. But the difference does not lie in the core principle of the religion, but rather in its worldview or its peculiar outlook.


Bahawa, sebenarnya, perhambaan di dalam Islam itu ialah kebebasan.



Bagaimana mungkin?


Teliti dan hayati kisah ini. Salah seorang sahabat nabi, Rub’ie bin Amr dipanggil untuk menghadap panglima empayar Parsi, Panglima Rustam. Panglima Rustam ingin bertanya, apa yang menarik sangat pasal Islam ini? Apa yang hebat sangat sampai membawa kaum ‘yang berbau unta dan padang pasir’ ini sanggup datang jauh-jauh untuk menyebarkan Islam?


Jawab Rub’ie bin Amr:


إن الله بعثنا لنخرج الناس من عبادة العباد إلى عبادة الله وحده و من ضيق الدنيا إلى سعتها و من جور الأديان إلى عدل الإسلام .


“Sesungguhnya Allah telah mengutuskan kami untuk

  1. memerdekakan manusia dari perhambaan sesama manusia, kepada menghambakan diri hanya kepada Allah yang maha Esa
  2. memerdekakan manusia dari kesempitan dunia kepada keluasan dunia dan akhirat
  3. dan memerdekakan manusia dari kezaliman ideologi manusia kepada keadilan Islam.”

Min Fiqhid Daulah Fil Islam, Yusuf al Qaradhawi


Apa yang dapat aku terjemahkan? Agama itu bukanlah suatu kongkongan atau kekangan, walau dalam bentuk apa sekalipun. Ia adalah pemacu kemajuan, pendukung kebebasan, pembawa keadilan.

Tetapi, bagaimana mungkin? Bagaimana mungkin Islam itu bisa melakukan itu semua? Bagaimana mungkin untuk kita merasai 'keluasan' dalam Islam sebagaimana yang dirasai oleh Sahabat itu?


Itu… jujurnya, aku tidak mampu untuk mengulangi kata-kata Rub’ie bin Amr itu, not just yet.

Aku percaya, kemanisan merasakan diri adalah hamba kepada Yang Satu perlu jujur lahir dari hati, perlu telus lahir dari latihan iman yang rigorous. Kemanisan mengabdikan diri pada Yang Satu adalah pengalaman peribadi, sukar diterjemahkan dengan kata-kata.

Mengulangi kata-kata sahaja tidak bererti apa-apa.


Jadi, bilakah lagi masa yang terbaik untuk kita melatih iman kita, selain dari bulan Ramadhan yang penuh keberkatan ini?


Marilah kita sujud pada Yang Satu,



kerana ia adalah sujud yang memerdekakan.

Thursday, August 20, 2009

berkata menuju benar

Apa gunanya semua yang aku lakukan ini?

..kalau aku tetap aku. Kalau tidak ada apa-apa yang berubah. Kalau untuk sekian lama, aku masih di situ?

Tulisan-tulisan dan kritik-kritikku ditujukan, tidak lain dan tidak bukan, hanya pada diri sendiri. Aku kecewa.

"Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? " As-Shaff:2

Melanting menuju tampuk, berkata menuju benar.

Adoyaii...

Munajat

Tuhan
ku bisikkan kerinduan...keinsafan..pengharapan

Tuhan
ku sembahkan pengorbanan mebuktikan kecintaan

bisikkanku untuk Mu
munajatku mohon restu
semoga cintaku bukan palsu
pada desiran penuh syahdu
gelombang lautan rinduku

munajatku dalam syahdu
merindui maghfirahMu
MardhiahMu dalam restu
harapan tulusnya hatiku

kurindukan pimpinan Mu
keagungan Mu dalam doaku
kebesaran pada kudratMu
ia membina ruhaniku

ujian kepahitan di dalam kehidupan
padanya ada kemanisan
ketenangan dan kebahagiaan
bayangan syurga idaman

Munajat-Rabbani
Iqrar 1421

..pulak dah

Kuarantin di bilik.

MC dapat dua hari.

Tak payah pergi hospital untuk 5 hari (sampai ahad).

Demam, batuk dan selsema.

Kafarah dosa? Ya Tuhan, sembuhkanlah aku, aku ingin menyambut Ramadhan.

Nota ringkas

1.Ramadhan
Persiapan tahun ini sangat sederhana. Namun aku sangat-sangat berharap agar Ramadhan kali ini membawa seribu satu erti. Ya, aku sedar, dalam apa-apun, tidak ada yang magic dalam kehidupan ini. Tidak boleh berharap kepada 'sesuatu' untuk merubah 'aku', jika 'aku' hanya berdiam diri. Tapi aku insan lemah, aku perlu serpihan rasa cinta dan kasih dari yang Satu. Mohon...

2.Paediatric
Sesak lagi menyesakkan. ward-ward dan klinik-klinik penuh, mungkin akibat chaos dan panic yang terjadi atas kegelisahan khalayak menghadapi pandemic H1N1 ini. Staf-staf banyak yang dah kurang senyum, hehe, letih barangkali. Sabar... Apapun, kanak-kanak memang comel, cuma kadangkala agak menjengkelkan =)

3.Kewangan
Isu yang tak pernah-pernah settle. Ada saja masalahnya. Tahun ini memang kelam kabut. Harus kemas kini. Harus pinta pendapat sahabat-sahabat.

4.Projek akhir tahun.
Aku ingin naik gunung lagi, cuma mungkin kali ini dalam kumpulan kecil, barangkali dua atau tiga orang. Mungkin ke Gunung Irau... Ah, Irau, tempat segala-galanya bermula. Dingin, sunyi dan misteri. Duniaku dan duniamu adalah kebisuan semesta. Aku cinta padamu, Irau.
Kenangan-kenangan mendaki Irau begitu menggamit sekali sejak dua tiga hari ini, sampai terbawa-bawa dalam mimpi. Apakah itu satu petanda?

5.Buku
Ada sebuah buku, yang akhirnya aku buat juga keputusan untuk mengirimkannya pada sahabatku yang satu itu. Jenuh aku tunggu terbitan yang baru, tak juga kunjung tiba. Aku harap dia suka. Aku sayang buku itu, kerana buku itu, seperti juga Irau, punya seribu satu kenangan. Dan aku harap dia juga akan kongsi cintaku pada buku itu.

6.Rabbani.
Al-Fatihah buat Allahyarham Ustaz Muhammad Asri. Pilu hati bila terdengar berita itu. Teringat nasyid-nasyidnya.

Terus terang, aku bukan penggemar nasyid. Pilihan nasyidku amat terhad. Tetapi, dalam pada itu, aku cukup suka kumpulan Rabbani/Nadamurni. Tarikan ada pada kekuatan liriknya. Dan, oh ya, rupa-rupanya, kaset (masa tu tiada mp3) pertama yang aku beli ialah album Rabbani: Iqrar 1421. Rasa-rasanya, aku beli pada tahun 2001, masa itu aku Form 2.

7.Raya
Tidak dapat tidak, di Malaysia, bila bercakap soal puasa, akan tersebutlah juga pasal raya. Entahlah, aku takut hendak menghadapi raya tahun ni, takut kalau-kalau berulangnya lagi kisah tahun lepas.

8.Peperiksaan
Semakin hampir! Sinsingkan lengan baju, pancangkan asa!

9.Aku
Tetap aku. Amat malang sekali. Alahai...

Sunday, August 16, 2009

diam ubi

"Kita, seolah-olah merayakan demokrasi, tetapi memotong lidah-lidah mereka yang berani mengatakan kewenang-wenangan.."

Soe Hok Gie, Catatan Seorang Demonstran 1983

Barangkali betul, kita tidak punya hak untuk menafikan hak seseorang itu untuk memperdengarkan kata-kata dan buah fikirannya. Menafikan itu, pada kiraanku, seolah-olah sudah menafikan pemberian Tuhan kepada hambaNya.

Tetapi, yang kita boleh pertikaikan, ialah isinya. Kata-kata dikeluarkan seharusnya terbit dari proses kritikan yang agresif dan rigorous dari dalam diri sendiri, didasari dengan keupayaan ilmu yang ada, dipandu oleh keimanan dan nilai-nilai kemanusiaan, dan dibatasi dengan undang-undang.

Ringkasnya, janganlah cakap ikut sedap hati.

Atau dengan kata lain, kita perlu menanamkan dalam diri kita sendiri sikap accountability (boleh dipertanggung-jawabkan) atas apa yang kita katakan itu.

Sebenarnya, semua ini telah diperkatakan secara lengkap oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan, dicernakan dengan lestari sekali dalam kesusasteraan Melayu sebagai untaian peribahasa yang berbunyi

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Pun begitu, masih ramai yang meletakkan kata-kata dihadapan minda, lantang mengatakan sesuatu yang mereka sendiri pun tidak beberapa faham, tetapi bersungguh-sungguh seolah-olah itu ialah gospel truth.

Aku rasa aku boleh faham kenapa. Barangkali enak nikmat bila orang menurut kata-kata kita, seronok bila orang tunduk pada kata-kata kita, mengiyakan sahaja.

Dalam perkara yang remeh-temeh, bolehlah kita bertolak-ansur, tetapi bagaimana pula bila ianya melibatkan soal hidup mati kita, untung nasib kita?

Bagaimana bila sesuatu hal itu diputuskan oleh mereka yang bukan ahlinya?

...akan terjadinya chaos, barangkali.

Biarlah, itu mereka. Yang perlu aku betulkan ialah, tak lain dan tak bukan, diri sendiri. Segala-galanya, dan akhirnya, akan tiba pada diri sendiri. Yang ditimbang bukan amalan orang lain, tetapi diri sendiri juga.

Tetapi, mengingatkan itu juga perlu, kerana ilmu dan agama itu itu sendiri prinsipnya saling mengingatkan.

“seandainya ilmu itu berfaedah, tapi tidak diamalkan nescaya tiadalah Allah mencela pendita-pendita ahli kitab.” Ibn Al-Qayyim.

"..Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan," 'Abasa: 11

Kalau tak diterima juga?

Oh well, biarlah kata-kataku setakat di sini sahaja, beku dalam blog buruk ini. Siapalah aku, manusia yang kotor dipalit lumpur-lumpur dosa.

"a plague on both of your houses" - William Shakespeare

Sunday, August 09, 2009

Tidur

Entah kenapa, malam ini aku terasa melankolik sekali. Hatiku terasa sayu sekali. Entah untuk apa, aku pun tak tahu.

Sudah dua tiga malam aku susah hendak tidur. Nak kata runsing, tak juga, nak kata tak mengantuk, tak juga.

Aku lelah sekali. Tetapi entah kenapa dan untuk apa.

Anjing gogong-gogong di luar. Sayup-sayup. Entah untuk apa. Pencuri? Hantu? Mengawan?

Angin menderu-deru di luar. Entah untuk apa. Hujan? Bayu? Kiamat?

Bulan malam ini kelihatan perang-keputihan. Kenapa bukan putih, seperti yang biasa? Untuk apa?

Cengkerik berbunyi, dan ironisnya, bunyi nyaring itu menjadikan suasana terasa sunyi, hening yang membingitkan telinga, membekukan masa. Kenapa?

Bunyi ambulans kedengaran dari jauh. Kenapa? Apakah akan lahir seorang lagi insan baru ke dunia? Atau akan melayangnya nyawa seorang lagi umat manusia?

Aku tidak tahu, aku tidak pasti. Dunia dan kehidupan merupakan seribu satu misteri, seribu satu persoalan, seribu satu keasingan.

Aku lelah sekali jika ingin menjawabnya, satu persatu, agar hatiku puas. Lalu bagaimana aku bisa tidur begini?

Kata orang tua-tua, itu tandanya hati tidak tenteram.

Oh, hati… hati yang berbolak-balik.

Hati yang karam perlu diselami, hati yang hilang perlu dicari.

Allahumma balighna fi Ramadhan

Ya Tuhan, sampaikan aku kepada Ramadhan.

Aku perlu tidur…