Pages

Friday, September 19, 2008

G

Habuk- habuk berterbangan. Jalur-jalur cahaya mengenai kaki G. G malas nak alihkan kakinya, walaupun terasa bahang mentari seolah-olah membakar hujung-hujung kakinya. G rasa, G perlukan kehangatan itu, buat sementara waktu.

G tak punya teman apa-apa. Dunianya kini adalah bilik empat segi kecil berbumbung tinggi. Di depan bilik dipagari dengan jeriji-jeriji besi dan tingkap hanya ada satu, itu pun berjeriji juga. Pangkin tidur boleh lipat ada di sudut bilik, bertilamkan tilam lusuh, penuh dengan pijat-pijat ; G serik nak tidur lagi di situ lagi. Di sudut lain ada jamban kecil, dan singki untuk basuh muka. Lain daripada itu, kosong… tapi G lantas tersenyum, apa lagi mahunya? G berada dalam penjara!

G memeluk tubuhnya, bersandar dan melunjurkan kakinya. G menghela nafas, mengeluh panjang. G intai kalendar kertas yang ada di atas meja pengawal penjara.. 23 Januari. Jadi, sudah lebih kurang 3 bulan G dipenjarakan. 3 bulan... G rasa macam sudah setahun! Siang dia rasa terseksa, malam dia rasa panjang. G rasa bosan dan sunyi, aktiviti yang dia buat hanyalah senaman pagi yang telah dirutinkan kepada semua banduan. Kadang-kadang, semasa bersenam, G tersengih. G teringat saat-saat semasa dia di sekolah dulu; G juga bersenam pagi bersama-sama rakan-rakannya. G rasa aneh, dulu dia menyumpah aktiviti sengal itu, sekarang dia rasa seronok dan teruja pula. Tetapi, kelas-kelas kemahiran dan kerohanian anjuran jabatan penjara G pandang sepi. G tak pernah berminat untuk mendengar apa yang cikgu-cikgu (di penjara, warden dipanggil cikgu) dan juga ustaz-ustaz jemputan ajarkan. G dengar, tapi dia lupa sebaik saja dia pakai selipar jepun dan melangkah pergi dari surau/kelas.

Seingat G, G tidak pernah dilayan buruk, kerana dia bukan banduan kelas jenayah. Banyak cikgu-cikgu yang ramah, tidak kurang yang suka menegur, tapi G tidak berminat untuk membalasnya. Sikap G yang malas menjawab sebenarnya bersebab, dia malas hendak bersosial di tempat yang dia sendiri benci. Cuma bila ada yang senyum, dia senyum kembali. Itupun kalau sudah lebih dua saat, G rasa gatal untuk menawarkan manis senyumnya.

G ingat, G tidak punya pelawat. Maksud G di sini, pelawat peribadi, ataupun sosial, baik dari ahli keluarganya mahupun tunangnya. Entahlah, G dengar-dengar, sebaik sahaja perbicaraan di mahkamah tamat tempoh hari, tunangnya sudah memaklumkan keputusannya untuk memutuskan hubungan itu, Itupun G tahu dari polis yang mengiringnya. Boleh senyum pula polis yang seorang itu bila dia beritahu G berita itu! Kurang asam, kalau tidak kerana digari, sudah lama G sekeh kepala polis yang keding itu.

Pelawat tunggal G ialah peguam syarikat tempat G bekerja. Itupun, bila berjumpa, G hanya tenung kosong muka peguam berbangsa singh itu. G nampak mulut singh itu berkata-kata dan sibuk menunjukkannya kertas ini dan fail itu, tapi G rasakan seolah-olah dia melihat rancangan television yang suaranya telah di mute kan. Setelah itu, G ucapkan terima kasih dan keluar dari bilik pelawat. Barangkali singh itu menyumpah tindakan G dalam senyap, dia bermati-matian untuk mempertahankan anak guamnya itu, tapi G buat tak endah sahaja. Terima kasih yang diterima hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga. Tapi G malas nak hiraukan. Biarlah.

Tentang familinya, G juga keberatan untuk berfikir tentang itu. G tahu, umminya begitu memendam rasa terhadap apa yang G alami sekarang ini. G tahu umminya sedih, umminya sayangkan dia, umminya sebenarnya prihatin terhadap dirinya. Tapi G sedar keretakan hubungan abi dan ummi yang sudah berabad lamanya membuatkan ummi semacam orang yang sudah runsing. Ummi terlalu bergantungan pada abi. Umminya yang sudah tua itu tidak boleh ke mana-mana kerana tidak tahu memandu kereta. G yakin, ummi mesti mau melawatnya, cuma abi sahaja yang tak mahu. Abi... mungkin abi bukan sahaja tak mahu, tapi mungkin lebih dari tak kisah. Tak kisah pasal ummi. Balik ke rumah pun jarang-jarang, inikan pula mau melawatnya, satu hapah pun tak ada. G cukup sengsara pasal itu. Pekerjaannya sering terganggu. Fokusnya senang dikacau.

Akhir sekali, pekerjaannya... ah, pergi jahanam sama itu pekerjaan!

Sebelum dikurung, G adalah seorang arkitek. Arkitek muda untuk syarikat konsultan pembinaan gergasi di benua eropah. Macam mana seorang budak comot (G) dari kampung kebun getah tempat Chin Peng dibesarkan itu boleh sampai ke tahap itu? G yakin, tak lain tak bukan, Rahmat dari Ilahi. Tapi G juga cepat-cepat sedar dari syok sendirinya itu, kurniaan itu datang bersama kepayahan, tanggungjawab dan keperitan. G akui, berbanding teman-temannya, G paling cepat mendaki tangga kerjaya, G paling awal merasa manisnya kejayaan yang biasanya dirasa oleh arkitek yang dah lama established. Lakaran-lakaran bangunan yang diilhamkan oleh G memukau sesiapa yang memandang, baik dari zaman universitinya dahulu sampailah sekarang. Tak pernah gagal untuk menerima pujian, tidak pernah gagal untuk mengundang rasa iri hati colleagues nya. G gelak memikirkan itu semua, fakta ini padanya sama sekali tidak membanggakan, apalah yang nak dibanggakan? G mula-mula gelak kecil, dan kemudiannya diikuti dengan gelak yang lebih besar. Jika tidak kerana pengawal pemjara yang bertempik suruh G diam itu, pasti G sudah gelak guling-guling. Barangkali dia fikir G sudah gila.

Lamunan G kemudiannya terarah pada projek bangunan terakhirnya. G rasa itulah projek terulungnya, lain dari yang lain. Projek mega, katanya. Blueprint yang dibentangkan dihadapan client nya di pejabatnya di Lausanne, Switzerland, menerima pujian yang melangit, dan tanpa ragu-ragu lagu projek itu segera dilaksanakan. G senyum, shake hand bersama clientnya dan terus meninggalkan board room sebaik sahaja urusan selesai. Majlis cocktail yang dijadualkan selepas mesyuarat itu dia malas hendak ikut. Begitu juga undangan peribadi clientnya untuk dinner di rumah besarnya di Kehlsteinhaus, di pergunungan Alps itu ditolaknya mentah-mentah.

Sebenarnya, G tidak sedap hati tentang hasil kerjanya itu. G sedar, perasaannya lain ketika melakar bangunan pencakar langit itu. G tidak menjiwainya. Itulah sebenarnya sikap G, G tidak memandang apa yang dibuat sebagai satu kerjaya, tapi sebagai minatnya, his passion. Tetapi projek kali ini tidak sebegitu. G tidak tahu di mana silapnya, G cuba rujuk kepada pakar-pakar yang lain, tapi semuanya bagi green light, proceed.

Dan ternyata, tak lama setelah bangunan itu siap, pada tanggal 19 Oktober, bangunan yang gah di langit Bern, Switzerland itu runtuh menyembah bumi. Ribuan jiwa terkorban, yang ada dalam bangunan, di luar bangunan, hinggalah yang sedang minum kopi di Café berhampiran. G tergamam bila mula-mula dikhabarkan berita itu. G terduduk di kerusinya, dan pada waktu itu juga peguam singh itu muncul, memberinya nasihat undang-undang dan menyuruhnya menyiapkan dokumen itu dan ini. Siap-siap untuk perbicaraan, katanya. G angguk lemah, melihat peguam itu keluar dari pejabatnya, tapi G tidak mahu berbuat apa-apa. G hanya duduk, merenung pada pada pemandangan di luar bangunan. Dan tidak lama kemudian dia ditahan, dibicarakan dan didapati bersalah kerana skuad penyiasat melaporkan bangunan itu runtuh kerana kesilapan rekaannya. G angguk faham bila hukuman dibacakan, tanpa perasaan, tanpa emosi. Keluarnya G dari mahkamah, mata G silau dek flash dari kamera SLR para wartawan. Tapi wajah yang dicari G tidak ada di situ; wajah ummi.

Dan sekarang, G berada di sini, menjalani hukuman penjara. Mahkamah mendapati dia bersalah, tapi G tidak pasti, bagi pihak dirinya, siapa yang patut disalahkan. Hati kecil G berbisik, projeknya is destined to doom since its very beginning. Tapi kenapa?

G tidak tahu. G harap orang diluar sana boleh membantu.

No comments: