Monday, September 22, 2008

10 terakhir

  1. Intro
    • Kalimah Basmalah
    • Syukur, puji dan agungkan kebesaran-Mu, ya Tuhan
    • Selawat dan salaam pada Rasul junjungan
    • Pohon keampunan diri, keluarga dan sekelian umat Islam
    • Sejahtera dan peliharalah ummi dan abi, ampunkan dosa mereka, sesungguhnya mereka banyak berjasa mendidikku
    • golongkan aku menjadi anak yang tahu balas budi.

  1. Diri
    • Ampun, ampun, ya Allah, ampunkanlah
    • berikanlah daku ketenangan dan hidayah-Mu
    • tanamkahlah benci kepada kekufuran dalam diriku
    • agungkanlah agama-Mu dalam hati ini
    • runtuhkanlah jahilyyah dalam hati ini
    • lembutkanlah hati ini, lunakkanlah ia dengan Nama-nama Mu
    • Kurniakanlah daku kekuatan, kesihatan dan kecerdikan
    • Bantulah daku dalam menghadapi liku hidup sehari-hari
    • Bantulah daku dalam pelajaranku, Na wil Qulubana ya Allah, taqalbi Rasulika ya Allah

  1. Saudara-saudaraku
    • Ampunkanlah saudara-saudaraku
    • Bantulah mereka dalam setiap apa yang dihajatinya
    • Peliharalah hamba-hamba-Mu
    • Bebaskanlah dan sejahterakanlah saudara-saudara kami di Al-Quds, Iraq, Bosnia, Kashmir, Selatan Thai, fi kulli makan wa fi kulli zaman
    • Utuhkanlah ikatan hati-hati kami ya Allah, bantulah kami dalam Jalan kepada Mu
    • Kembalikanlah ’izzah kepada Islam dalam hati rakan-rakan seusiaku, kembalikanlah rijal-rijal agama ini ya Allah
    • Sinarkanlah ruh-ruh Islam dalam setiap hamba-hamba Mu

  1. Pengakhiran
    • Ya Tuhan,berikanlah keselamatan di akhirat, sihatkanlah tubuhku, tambahkanlah ilmuku, berkatkanlah rezeki-ku

Allahumma inni nas aluka salamatan fiddin, wal afiyatan fil jasaad, waziyadatan fil ilmi, wabarokatan firrizqi

    • Ya Tuhan, berikanlah kesempatan untukku taubat sebelum mati, rahmat ketika mati dan keampunan sesudah mati

wa taubatan qoblal maut, wa rahmatan ‘indal maut, wa maghfirotan ba’dal maut.

    • Ya tuhan, permudahkanlah aku menghadapi kematian, masukkanlah aku ke Syurga dan bukan neraka,

Allahumma hawwin ‘alaina fi sakaratil maut, wannajata minannar, wal afwa indal hisaab

    • Ya tuhan cabutkanlah nyawaku dalam husnul Khotimah dan lindungilah aku dari suuil khotimah

Allahumma inna nas aluka husnul khotimah, wa na'uudzubika min suuil khotimah

  1. Outro
    • Rabbana aatina fiddunya hasanah wa fil akhirati hasanah Wa Qiina Adzabanna
    • Subhana robbika robbil idzaati amma yasifuun, wasalamun ‘alal mursalin. Walhamdulillahirobbil alamin

************************************************

Mari imarahkan 10 Ramadhan yang terakhir. Moga bertemu Laylatul Qadr!

Friday, September 19, 2008

G

Habuk- habuk berterbangan. Jalur-jalur cahaya mengenai kaki G. G malas nak alihkan kakinya, walaupun terasa bahang mentari seolah-olah membakar hujung-hujung kakinya. G rasa, G perlukan kehangatan itu, buat sementara waktu.

G tak punya teman apa-apa. Dunianya kini adalah bilik empat segi kecil berbumbung tinggi. Di depan bilik dipagari dengan jeriji-jeriji besi dan tingkap hanya ada satu, itu pun berjeriji juga. Pangkin tidur boleh lipat ada di sudut bilik, bertilamkan tilam lusuh, penuh dengan pijat-pijat ; G serik nak tidur lagi di situ lagi. Di sudut lain ada jamban kecil, dan singki untuk basuh muka. Lain daripada itu, kosong… tapi G lantas tersenyum, apa lagi mahunya? G berada dalam penjara!

G memeluk tubuhnya, bersandar dan melunjurkan kakinya. G menghela nafas, mengeluh panjang. G intai kalendar kertas yang ada di atas meja pengawal penjara.. 23 Januari. Jadi, sudah lebih kurang 3 bulan G dipenjarakan. 3 bulan... G rasa macam sudah setahun! Siang dia rasa terseksa, malam dia rasa panjang. G rasa bosan dan sunyi, aktiviti yang dia buat hanyalah senaman pagi yang telah dirutinkan kepada semua banduan. Kadang-kadang, semasa bersenam, G tersengih. G teringat saat-saat semasa dia di sekolah dulu; G juga bersenam pagi bersama-sama rakan-rakannya. G rasa aneh, dulu dia menyumpah aktiviti sengal itu, sekarang dia rasa seronok dan teruja pula. Tetapi, kelas-kelas kemahiran dan kerohanian anjuran jabatan penjara G pandang sepi. G tak pernah berminat untuk mendengar apa yang cikgu-cikgu (di penjara, warden dipanggil cikgu) dan juga ustaz-ustaz jemputan ajarkan. G dengar, tapi dia lupa sebaik saja dia pakai selipar jepun dan melangkah pergi dari surau/kelas.

Seingat G, G tidak pernah dilayan buruk, kerana dia bukan banduan kelas jenayah. Banyak cikgu-cikgu yang ramah, tidak kurang yang suka menegur, tapi G tidak berminat untuk membalasnya. Sikap G yang malas menjawab sebenarnya bersebab, dia malas hendak bersosial di tempat yang dia sendiri benci. Cuma bila ada yang senyum, dia senyum kembali. Itupun kalau sudah lebih dua saat, G rasa gatal untuk menawarkan manis senyumnya.

G ingat, G tidak punya pelawat. Maksud G di sini, pelawat peribadi, ataupun sosial, baik dari ahli keluarganya mahupun tunangnya. Entahlah, G dengar-dengar, sebaik sahaja perbicaraan di mahkamah tamat tempoh hari, tunangnya sudah memaklumkan keputusannya untuk memutuskan hubungan itu, Itupun G tahu dari polis yang mengiringnya. Boleh senyum pula polis yang seorang itu bila dia beritahu G berita itu! Kurang asam, kalau tidak kerana digari, sudah lama G sekeh kepala polis yang keding itu.

Pelawat tunggal G ialah peguam syarikat tempat G bekerja. Itupun, bila berjumpa, G hanya tenung kosong muka peguam berbangsa singh itu. G nampak mulut singh itu berkata-kata dan sibuk menunjukkannya kertas ini dan fail itu, tapi G rasakan seolah-olah dia melihat rancangan television yang suaranya telah di mute kan. Setelah itu, G ucapkan terima kasih dan keluar dari bilik pelawat. Barangkali singh itu menyumpah tindakan G dalam senyap, dia bermati-matian untuk mempertahankan anak guamnya itu, tapi G buat tak endah sahaja. Terima kasih yang diterima hanyalah seperti melepaskan batuk di tangga. Tapi G malas nak hiraukan. Biarlah.

Tentang familinya, G juga keberatan untuk berfikir tentang itu. G tahu, umminya begitu memendam rasa terhadap apa yang G alami sekarang ini. G tahu umminya sedih, umminya sayangkan dia, umminya sebenarnya prihatin terhadap dirinya. Tapi G sedar keretakan hubungan abi dan ummi yang sudah berabad lamanya membuatkan ummi semacam orang yang sudah runsing. Ummi terlalu bergantungan pada abi. Umminya yang sudah tua itu tidak boleh ke mana-mana kerana tidak tahu memandu kereta. G yakin, ummi mesti mau melawatnya, cuma abi sahaja yang tak mahu. Abi... mungkin abi bukan sahaja tak mahu, tapi mungkin lebih dari tak kisah. Tak kisah pasal ummi. Balik ke rumah pun jarang-jarang, inikan pula mau melawatnya, satu hapah pun tak ada. G cukup sengsara pasal itu. Pekerjaannya sering terganggu. Fokusnya senang dikacau.

Akhir sekali, pekerjaannya... ah, pergi jahanam sama itu pekerjaan!

Sebelum dikurung, G adalah seorang arkitek. Arkitek muda untuk syarikat konsultan pembinaan gergasi di benua eropah. Macam mana seorang budak comot (G) dari kampung kebun getah tempat Chin Peng dibesarkan itu boleh sampai ke tahap itu? G yakin, tak lain tak bukan, Rahmat dari Ilahi. Tapi G juga cepat-cepat sedar dari syok sendirinya itu, kurniaan itu datang bersama kepayahan, tanggungjawab dan keperitan. G akui, berbanding teman-temannya, G paling cepat mendaki tangga kerjaya, G paling awal merasa manisnya kejayaan yang biasanya dirasa oleh arkitek yang dah lama established. Lakaran-lakaran bangunan yang diilhamkan oleh G memukau sesiapa yang memandang, baik dari zaman universitinya dahulu sampailah sekarang. Tak pernah gagal untuk menerima pujian, tidak pernah gagal untuk mengundang rasa iri hati colleagues nya. G gelak memikirkan itu semua, fakta ini padanya sama sekali tidak membanggakan, apalah yang nak dibanggakan? G mula-mula gelak kecil, dan kemudiannya diikuti dengan gelak yang lebih besar. Jika tidak kerana pengawal pemjara yang bertempik suruh G diam itu, pasti G sudah gelak guling-guling. Barangkali dia fikir G sudah gila.

Lamunan G kemudiannya terarah pada projek bangunan terakhirnya. G rasa itulah projek terulungnya, lain dari yang lain. Projek mega, katanya. Blueprint yang dibentangkan dihadapan client nya di pejabatnya di Lausanne, Switzerland, menerima pujian yang melangit, dan tanpa ragu-ragu lagu projek itu segera dilaksanakan. G senyum, shake hand bersama clientnya dan terus meninggalkan board room sebaik sahaja urusan selesai. Majlis cocktail yang dijadualkan selepas mesyuarat itu dia malas hendak ikut. Begitu juga undangan peribadi clientnya untuk dinner di rumah besarnya di Kehlsteinhaus, di pergunungan Alps itu ditolaknya mentah-mentah.

Sebenarnya, G tidak sedap hati tentang hasil kerjanya itu. G sedar, perasaannya lain ketika melakar bangunan pencakar langit itu. G tidak menjiwainya. Itulah sebenarnya sikap G, G tidak memandang apa yang dibuat sebagai satu kerjaya, tapi sebagai minatnya, his passion. Tetapi projek kali ini tidak sebegitu. G tidak tahu di mana silapnya, G cuba rujuk kepada pakar-pakar yang lain, tapi semuanya bagi green light, proceed.

Dan ternyata, tak lama setelah bangunan itu siap, pada tanggal 19 Oktober, bangunan yang gah di langit Bern, Switzerland itu runtuh menyembah bumi. Ribuan jiwa terkorban, yang ada dalam bangunan, di luar bangunan, hinggalah yang sedang minum kopi di Café berhampiran. G tergamam bila mula-mula dikhabarkan berita itu. G terduduk di kerusinya, dan pada waktu itu juga peguam singh itu muncul, memberinya nasihat undang-undang dan menyuruhnya menyiapkan dokumen itu dan ini. Siap-siap untuk perbicaraan, katanya. G angguk lemah, melihat peguam itu keluar dari pejabatnya, tapi G tidak mahu berbuat apa-apa. G hanya duduk, merenung pada pada pemandangan di luar bangunan. Dan tidak lama kemudian dia ditahan, dibicarakan dan didapati bersalah kerana skuad penyiasat melaporkan bangunan itu runtuh kerana kesilapan rekaannya. G angguk faham bila hukuman dibacakan, tanpa perasaan, tanpa emosi. Keluarnya G dari mahkamah, mata G silau dek flash dari kamera SLR para wartawan. Tapi wajah yang dicari G tidak ada di situ; wajah ummi.

Dan sekarang, G berada di sini, menjalani hukuman penjara. Mahkamah mendapati dia bersalah, tapi G tidak pasti, bagi pihak dirinya, siapa yang patut disalahkan. Hati kecil G berbisik, projeknya is destined to doom since its very beginning. Tapi kenapa?

G tidak tahu. G harap orang diluar sana boleh membantu.

Wednesday, September 17, 2008

L

L tunduk. Gelap, sunyi, dan semuanya terasa lembap. Sejuk juga. Titis-titis air yang kadangkala singgah di hujung bootnya yang lusuh itu kerap membuatkan L tersedar kembali, mengikatnya pada alam yang berwaktu. Punggungnya sudah lama kebas, tapi L buat tak tahu, banyak lagi perkara yang perlu dihiraukan.

L mencongak-congak, rasanya sudah hampir 3 hari dia duduk di situ, berbekalkan air yang menitis dari stalagtit dan cokelat cadbury yang ada sebungkus dua. Cahaya yang masuk hanyalah berupa jalur-jalur nipis, dan bunyi-bunyi yang menjadi halwa telinga datangnya dari deru angin yang berpusu-pusu masuk dari celahan batu kapur. L sebenarnya dalam pendakian ke puncak gunung. Mendaki seorang diri. Pergi berseorangan, jadi susah dan senang pun patut berseorangan fikirnya.

Hujan lebat membuatkan dia singgah ke gua yang dia tak pernah tahupun kewujudannya, meski sudah berulang kali ke gunung itu. Aneh ini, fikirnya. L masuk untuk berlindung... berlindung, berlindung dari apa? Bajunya sudah basah kuyup. Dan dia insan yang tak suka membawa barang yang lebih dari apa yang dia perlukan (kadang-kadang yang perlu pun dia tak bawa). Lantaran itu, baju lebih dia tak ada, baju tebal pun dia tak ada. L masuk ke gua dengan perasaan curiga. Bukan apa, transisi mendadak dari kebasahan dan kebisingan hujan lebat kepada ketenangan dan kemisterian atmosfera gua itu membuatkan dia pelik, dan rasa pelik sering membuatkan L pening tak tentu fasal.

L memeriksa dan mendapati geografi gua itu seaneh first impressionnya. Agak curam ditengah, ada terusan kecil di situ dan terdapat semacam tebing tinggi di kanan gua. L daki tebing itu, dan dia menemukan satu ceruk berhampiran bumbung gua itu. Tidaklah besar sangat, muat-muat dia seorang, punya pengaliran udara yang bagus dan mempunyai pandangan terus ke pintu gua. Bagus, boleh rehat sebentar.

Rupanya rehat sebentar yang disangkanya itu berpanjangan hingga keesokan hari, dan bersambung pada hari-hari berikutnya. Entah kenapa, L rasa malas hendak menapak keluar. Cuaca sudah elok, dan beberapa ketika, boleh nampak gerombolan budak sekolah sedang mendaki. Entah kenapa juga, L terasa sengal untuk berbicara kepada sesiapa...em, mungkin tidak untuk beberapa hari ni. L terasa nyaman di situ. Dia terasa waktu telah dibekukan, walaupun kadang-kadang diingatkan oleh titis air yang memberi irama yang statik, beritma tetap dan senada.

L kadang kala terasa lucu, apalah yang nak dibuatnya di situ. Macamlah dia tak ada tanggung jawab di pejabatnya di kota. Tapi ingatannya ke tempat itu cepat-cepat dihalaunya keluar dari fikirannya. Begitu juga hubungannya dengan seorang gadis cina di pejabatnya. Ah, gadis cina itu! Manis dan sopan. Ibunya tentu suka. L senyum lagi, namun ditamparnya pipi kiri berulang kali, kerana mungkir janji untuk tidak memikirkan hal itu sekarang. Lalu L membiarkan hal-hal lain datang dan berlalu dalam kotak fikirannya, seolah-olah dia sedang berada dalam sebuah teater, di mana dia sahajalah penontonnya, dan apa yang dipentaskan itu adalah fikirannya. L mengamati setiap apa yang dipentaskan. Ditelaahnya, dibeleknya dan disiasatnya untuk memahami apa yang tersurat dan yang tersirat, tapi tanpa ada unsur emosi atau kecenderungan mempengaruhi fikirannya. Dia cuba menjadi objektif dan non-judgemental.

Begitulah hari-harinya berlalu. L tidak berasa bosan, malah seronok. Hidupnya di situ senang. Lapar? makanlah cokelat. Haus? tadahlah air stalagtit. Tapi keseronokan itu tidak kekal lama. L tidaklah begitu kecewa, dia faham benar bahawa keseronokan itu memang pendek umur. L terasa aneh, bila dia cuba memahami hakikat fenoma ini : Kalau dia bergerak-gerak, macam terkejar-kejar urusan di pejabat, akalnya berhenti berfikir. Kalau dia berhenti bergerak, macam apa yang dilakukannya di gua ini, akalnya bergerak laju pula. Haruskah dia berhenti setiap kali mau berfikir? Apakah jasad itu berbeza dari ruh-nya? Ada yang boleh mengikat? L tersenyum, dia perlu pencerahan, debat angan-angannya tak akan ke-mana-mana, dia perlu satu penjelasan konkrit dan tasawwur yang absolut.

Tiba-tiba L terasa mahu ke terusan yang ada di lantai gua. L turuni tebing curam dan mencangkung di gigi terusan. Jernih airnya, pasti sejuk, dan alirannya begitu lembut, seolah-olah kain sutera yang membelai kulit perawan Arab. Walaupun tidak jelas, L boleh mengecam bayang yang dia nampak pada permukaan air. Ya, itulah dia, rambut yang kusut masai, mata yang sembap, sungguh tak terurus.

L cedok air dengan dua belah tangannya, brrr, sejuk! L sapu air itu ke mukanya. Dengan tidak semena-mena, L sinsingkan lengan bajunya, L sapu air pada tangan kanan dan kiri, kemudian ke rambutnya, telinga dan kedua belah kakinya. L tergamam, aktiviti fizikal yang baru berlaku ini berlaku dengan begitu pantas, dengan begitu automatis, dengan diluar kawalannya, in his subconscious mind. L terduduk ke belakang, bingung. Walaupun di luar kawalannya, hati L tetap merasakan segala pergerakannya tadi pernah menjadi rutin hidupnya satu ketika dulu. L takut, jin gua mana yang merasuk aku ini? Tapi L tidak menafikan, jiwa L terasa lapang, terasa seolah-olah dia mendapat kembali barang yang telah lama hilang, macam ketika dia terjumpa kembali pen fountain tip Parker hadiah hari jadi pemberian gadis Cina itu yang telah lama hilang dari mejanya. Oh bukan, rasa seronok ini lebih lagi, L tak mampu nak ucapkan.

Tanpa disedarinya, L menangis. Tapi L seka air matanya. Dan dia kembali tersenyum. Dia tergelak memikirkan betapa cuaknya pendaki yang melintasi guanya itu jika mereka terdengar L menangis, hantu mana yang meratap ni? L juga percaya, masalah tak dapat diselesaikan dengan menangis, tetapi L juga akur, kadangkala menangis adalah perlu untuk meruntuhkan egonya, membuatkan dia sedar bahawa dia juga ada masalah.
L menoleh dan merenung pintu gua, dia lihat pemandangan yang cerah, rumput yang menghijau, bau yang menyegarkan. Menenangkan.

Monday, September 15, 2008

T

Udara semakin sejuk. Awan hitam berarak pelan-pelan di kaki langit. Langit menjadi begitu kelabu. Gunung-gunung di lembah sudah berubah wajah. Namun T tidak pasti sama ada wajah itu marah, sedih ataupun muram.

Yang pasti, T kini berdiri kaku di tengah-tengah bendang. Bendang yang lapang, luas sejauh mata memandang. Di utara nampak awan-awan hitam, di selatan nampak gunung-gunung. Di kiri dan kanan tidak ada apa-apa, selain petak-petak sawah dan juga kerbau-kerbau malas. T anak jati lembah itu. T membesar, belajar, mengaji, bermain, bergasak, makan, berak dan kencing di situ. Cuma di usia remajanya sahaja, T sempat berkelana di bumi asing. Bumi yang tidak ada petak-petak sawah, tali-tali air, hatta bau busuk najis kerbau pun tidak ada. Mula-mula T agak kalut menyesuaikan diri di bumi asing, hampir-hampir pitam bila T mula-mula turun bas. Rupa-rupanya, becak lumpur petak sawah dan busuk hancing bau kerbau yang dibencinya dulu, sebenarnya sudah sebati dalam diri T. Seakan-akan T tidak boleh berenggang lansung dari pada bau-bauan itu.

Dan kini T pulang ke bendang kesayangannya itu. Tapi pondok buruknya sudah tidak ada. Barangkali sudah dirobohkan oleh penduduk kampung yang takut kalau-kalau pondoknya itu nanti jadi sarang penagih dadah atau tapak 'projek' remaja-remaja yang dah biul. T tersengih seorang diri, macam apek kena loteri. Mana aku mau duduk sekarang, fikir T.

T terduduk, mencangkung di tepi batas, bersama-sama luggagenya. Sekali sekala beberapa gadis dengan basikal tua yang bunyinya macam orkestra tak jadi lalu lalang tak jauh dari tempat T mencangkung. Daripada rias-rias wajah dan gerak mulut gadis-gadis itu, T dapat mengagak, pasti mereka sedang galak mencemuh dan mengejeknya. Apalah yang mamat ni nak buat mencangkung di tengah-tengah bendang ni? Buang tabiat agaknya. Tapi T buat tak hirau, dia kenal sangat fiil gadis-gadis kampungnya itu. Dan gadis gadis itu, lantaran melihat muka T yang macam perompak bersiri itu, tak buang masa lama-lama di situ, angkat kaki dan terus cabut.

T kini kembali keseorangan, kembali menjadi insan sepi. Di saat itu jugalah suasana bendang yang tadinya suam-suam kuku bertukar menjadi sejuk. Sejuk sampai T terasa jantungnya menggigil kerana kesejukan ditiup angin. T merasa cuak, takut dan bimbang. T tidaklah terlalu bodoh untuk tidak dapat mengecam tanda-tanda ribut petir akan melanda bendangnya itu sebentar lagi. Malah T dapat mengagak berapa knot kah angin kencang itu bakal bertiup, berapa mililiter kah air hujan yang bakal turun dan berapa sentimeterkah paras air bendangnya akan naik. Daripada tanda-tanda gelapnya awan hitam dan sejuknya angin yg bertiup, T dapat meneka. T arif benar.

Cumanya, apa yang menghairankan, atau lebih menakutkan T sebenarnya, mengapakah kakinya enggan bergerak? Apa kejadahnya masalah aku sekarang ni? T terasa kakinya macam sudah disimen rapi ke dalam tanah. T toleh ke kiri dan kanan, kalau-kalau ada insan yang boleh dipinta tolong. Sepanjang ingatan T, biasanya waktu-waktu ni, paling kurang pun, boleh nampak remaja-remaja tabligh dengan jubah putihnya sedang berziarah dari pintu ke pintu, dan pondoknya takkan terlepas. Namun hari itu tak ada pula, mungkin dah pulang awal sebab ribut akan melanda.

Macam mana ni, T melaung sekuat-kuat hati. Tolong!!!

Setelah T terasa anak tekaknya hampir-hampir nak terkeluar, barulah T berhenti. Namun tidak ada juga insan di kiri dan kanannya. Yang ada hanyalah awan hitam, petak sawah, gunung-gunung dan kerbau-kerbau... ah, kerbau! T tau, kerbau adalah spesis yang tak terkesan oleh perubahan cuaca itu. Lihatlah, tak berganjak pun dari pusat berkubangnya itu, dan pandangan wajah selamba dan acuh tak acuh kerbau-kerbau itu lagilah menghanginkan hati T.
Hujan mulai turun, renyai-renyai dan lama kelamaan menjadi semakin lebat. T dah tak nampak apa-apa pun. Guruh dan kilat yang sabung menyabung di langit memekakkan telinganya. T takut, dia cuba menutup mukanya dengan satu tangan dan memeluk tubuhnya dengan tangan yang lain. T keseorangan melawan hujan, angin dan guruh yang rakus membantai tubuhnya yang sediakala kecil dan lemah. Kakinya tadi seperti disimen, kini seperti dirantai dengan besi waja. T menangis, namun tangisnya tak kedengaran kerana suasana terlalu bising.

Hujan terus lebat, angin terus kencang, guruh terus bergendang. T hendak menangis lagi, tapi air matanya sudah kering. Hatinya terasa sangat kecil, jiwanya remuk, fikirannya kacau.

T masih di situ, terduduk memeluk tubuh, ketakutan, menangis, menangis dan terus menangis...