Minggu ini adalah minggu terakhir aku dalam sub-acute medicine. Minggu depan aku akan masuk jabatan pembedahan. Aku akan bermula dengan evening shift, dari 1.30pm - 11.30pm. Hari raya, kalau jatuh hari Ahad, aku kebetulan memang day-off. Alhamdulillah. Tak pasti samada nak beraya di sini atau balik ke city. Dekat sini sebab ada fellow Malaysian doctors, kalau di city ada banyak komuniti Melayu dan sahabat-sahabat karib.
Aku dah plan nak balik Malaysia dalam bulan Oktober. Dalam seminggu macam tu. Tiket dah beli pun sebenarnya, tapi aku masih lagi nak rahsiakan dari keluarga. Aku tak risau nak cerita di sini sebab bukannya depa baca pun blog ni.
Ada beberapa perkara nak dibuat, salah satu yang utama adalah kursus kahwin. Kalau ikutkan jadual, nampak gaya dari airport nanti aku kena rush ke kursus. Walaupun cerita-cerita dari rakan-rakan banyak yang bernada negatif tentang kursus ini, aku harap kursus yang akan aku lalui nanti bermanfaat. Tidaklah semata-mata untuk formaliti.
Dah settle nanti, aku nak pergi ke jabatan agama untuk ambil borang-borang. Aku dah call jabatan ini beberapa hari lepas, dan telah bersembang oleh salah seorang pegawainya. Dalam banyak-banyak prosedur, ada satu borang yang menggelikan hati aku; dokumen akuan bujang. Sebabnya, borang ini perlu disahkan oleh majikan tempat kerja.
Aku dah boleh terbayang muka pelik kerani mat saleh di pejabat Medical Workforce nanti. Dan dari segi logistiknya memang kurang sesuai.
Lalu, aku tanyakan alternatif. Alhamdulillah, Kadi kawasan boleh sahkan. Bolehlah aku melawat Kadi Sitiawan nanti yang orangnya pun aku tak pernah kenal. Harap-harap dia percaya aku bujang terang tang-tang.
Lepas itu, kalau ada masa, aku hendak pergi ke Kuala Kangsar, jumpa sahabat lama. Abdul Rahim Che Hashim, tauke labu sayong berjaya. Nak jumpa orangnya dan ibu bapanya. Dulu, waktu sekolah, ada beberapa kali aku tumpang tidur di rumahnya. Lepas sekolah pun ada juga. Aku agak rapat dengan bapanya, Encik Che Hashim. Ramah orangnya.
Mula-mula kenal dulu, beliau tak banyak cakap, selalu sibuk mengukir labu sayong. Tapi bila dah lama, beliau memang mesra. Banyak cerita; biasalah, orang banyak pengalaman. Aku suka untuk sembang dengan beliau sebab nak berlatih loghat Perak Kuale. Syok betul. Rasa puas. Baru boleh mengaku anak jati Perak. Bukan apa, hometown aku di Sitiawan sebenarnya bandar pendatang. Sitiawan dulu merupakan kampung-kampung cina penoreh getah. Orang Melayu yang ada pun asalnya dari Acheh. Jadi, loghat Perak memang tak strong pun di Sitiawan. Bukan nak berlagak cakap KL.
Kalau jadi, aku ingat nak pergi pagi, dalam dua jam sampailah. Tengahari boleh ajak Rahim makan laksa dan cendol dekat tebing sungai Perak. Zohor di Masjid Ubudiah. Klasik habis. Balik nanti, boleh singgah beli cendawan dan pisang goreng, makan dalam kereta.
Dekat-dekat hari nak balik, aku ingat nak mampir ke Batu Kurau, Taiping. Ziarah pusara arwah ibu dan bapa tunangku. Lepas itu, mungkin boleh singgah di Kamunting, rumah seorang lagi sahabat karib seumur hidup, Muhammad Hakimi Ismail. Seorang engineer yang kini berkerja di Friedrichafen, Germany. Aku rapat juga dengan ayahnya. Suka dengar tazkirah dan peringatannya. Memang 'basah', selayaknya seorang yang gigih dalam arena dakwah dan usrah hingga ke hari ini.
Banyak betul plan. Entah di buat entah tidak. Ini tak termasuk melawat sahabat-sahabat ISMA di KL dan Johor yang terpaksa aku cancel. Ah, masa...
Tak apalah, aku akan luangkan masa cukup-cukup dengan keluarga nanti. Masak di dapur dengan ibu, siram kebun ayah, lawat adik di UiTM dan asrama, buli Fareez si budak kecik. Petang-petang boleh main basketball dengan 'penghulu' Sitiawan, Izwan Haziq dan Wan Muhd Asyraf. Malam pergi mamak atau kopitiam. Subuh di Surau Nurul Hidayah, Taman Mas.
Moga jadi.
2 comments:
salaam,
my uncle is an ustaz-cum-tok kadi area sitiawan-lekir. mungkin boleh membantu kalau perlu.
this post surprisingly made me feel homesick, thanks for that.
semoga dipermudahkan urusan di Msia Dr Fitri.
Salam Hidayah,
Terima kasih, tgk mcm mana nanti.
=) Perak...
InshaAllah, amin.
selamat mengejar malam2 terakhir Ramadhan.
Fitri
Post a Comment