Pages

Sunday, August 16, 2009

diam ubi

"Kita, seolah-olah merayakan demokrasi, tetapi memotong lidah-lidah mereka yang berani mengatakan kewenang-wenangan.."

Soe Hok Gie, Catatan Seorang Demonstran 1983

Barangkali betul, kita tidak punya hak untuk menafikan hak seseorang itu untuk memperdengarkan kata-kata dan buah fikirannya. Menafikan itu, pada kiraanku, seolah-olah sudah menafikan pemberian Tuhan kepada hambaNya.

Tetapi, yang kita boleh pertikaikan, ialah isinya. Kata-kata dikeluarkan seharusnya terbit dari proses kritikan yang agresif dan rigorous dari dalam diri sendiri, didasari dengan keupayaan ilmu yang ada, dipandu oleh keimanan dan nilai-nilai kemanusiaan, dan dibatasi dengan undang-undang.

Ringkasnya, janganlah cakap ikut sedap hati.

Atau dengan kata lain, kita perlu menanamkan dalam diri kita sendiri sikap accountability (boleh dipertanggung-jawabkan) atas apa yang kita katakan itu.

Sebenarnya, semua ini telah diperkatakan secara lengkap oleh junjungan besar, Nabi Muhammad S.A.W.

Daripada Abu Hurairah r.a., bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau dia diam - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Dan, dicernakan dengan lestari sekali dalam kesusasteraan Melayu sebagai untaian peribahasa yang berbunyi

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya.

Pun begitu, masih ramai yang meletakkan kata-kata dihadapan minda, lantang mengatakan sesuatu yang mereka sendiri pun tidak beberapa faham, tetapi bersungguh-sungguh seolah-olah itu ialah gospel truth.

Aku rasa aku boleh faham kenapa. Barangkali enak nikmat bila orang menurut kata-kata kita, seronok bila orang tunduk pada kata-kata kita, mengiyakan sahaja.

Dalam perkara yang remeh-temeh, bolehlah kita bertolak-ansur, tetapi bagaimana pula bila ianya melibatkan soal hidup mati kita, untung nasib kita?

Bagaimana bila sesuatu hal itu diputuskan oleh mereka yang bukan ahlinya?

...akan terjadinya chaos, barangkali.

Biarlah, itu mereka. Yang perlu aku betulkan ialah, tak lain dan tak bukan, diri sendiri. Segala-galanya, dan akhirnya, akan tiba pada diri sendiri. Yang ditimbang bukan amalan orang lain, tetapi diri sendiri juga.

Tetapi, mengingatkan itu juga perlu, kerana ilmu dan agama itu itu sendiri prinsipnya saling mengingatkan.

“seandainya ilmu itu berfaedah, tapi tidak diamalkan nescaya tiadalah Allah mencela pendita-pendita ahli kitab.” Ibn Al-Qayyim.

"..Sesungguhnya ajaran-ajaran Tuhan itu adalah suatu peringatan," 'Abasa: 11

Kalau tak diterima juga?

Oh well, biarlah kata-kataku setakat di sini sahaja, beku dalam blog buruk ini. Siapalah aku, manusia yang kotor dipalit lumpur-lumpur dosa.

"a plague on both of your houses" - William Shakespeare

No comments: