Pages

Tuesday, May 10, 2011

Pilihan

Semakin hari, semakin ramai orang yang berbicara tentang mempertahankan budaya. Dan, pada masa yang sama, jumlah orang yang mahu mengasingkan budaya dari kerangka hidupnya tidak kalah juga banyaknya.

Buktinya mudah. Panggilan-panggilan untuk 'kembali ke jati diri' dan 'pemerkasaan/solidariti budaya' mula memenuhi ruangan media massa - baik di dalam media arus perdana mahupun alternatif.

Tetapi, aku was-was, dalam kalangan mereka ini, belum tentu ramai yang mafhum apakah bentuk budaya yang mahu dipertahan atau ditentang itu. Juga, niat disebalik pendirian yang diambil belum tentu kukuh dan murni sifatnya.

Aku yakin, pemahaman rata-rata masyarakat kita terhadap fungsi dan erti budaya masih bersifat luaran dan dangkal. Di dalam satu khemah pemikiran, budaya mungkin bererti ketuanan bangsa, manakala di khemah yang lain budaya hanyalah tidak lebih daripada aktiviti ritualistik yang sampah.

Masing-masing saling label-melabel puak yang satu lagi. Sudah tak terhitung ramainya orang yang telah dicopkan 'pengkhianat bangsa' di dahi mereka, dan sudah tak terbilang ramainya orang yang telah dipakaikan tanda nama 'rasis & ekstremis' di dada mereka.

Secara jujur, aku merasakan polemik budaya ini bermuara dari kegagalan kita untuk memahami 'budaya' itu sendiri. Andaian-andaian liar yang telah kita sangkutkan pada leher lawan kita sebenarnya membelenggu kembali kaki-kaki kita.

Dan akhirnya, yang akan terus berpanjangan hanyalah prasangka dan prejudis, bukannya kejernihan hidup bermajmuk.

Yang kita harap-harapkan dapat memacu kemajuan, telah berubah menjadi api api kemusnahan.

Tepuk dada, tanya iman.


“Dan demikian (pula) Kami telah menjadikan kaum (umat Islam) umat yang pertengahan agar kamu menjadi saksi atas (perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan) kami.” (Al-Baqarah: 143)


No comments: