Pernah, suatu ketika dulu, aku diberitahu bahawa sebab utama pilihan raya kampus (PRK) di universiti-universiti Indonesia (atau di sana disebut universitas) mendapat perhatian serius adalah kerana, antara lain, kemenangan dalam PRK turut mengesahkan beberapa kerusi perwakilan dalam Dewan Perwakilan Rakyat republik berkenaan.
Dengan kata lain, kuasa legislatif negara, di samping keistimewaan-keistimewaan lain, menanti sang pemenangnya. Maka, secara serta-merta, PRK dan politik kampus menjadi lubuk yang 'rasmi' untuk pelbagai pihak.
Partai-partai politik melihat perkara ini sebagai medan yang subur untuk mengukuhkan lagi cengkaman kuasa politik masing-masing, dan tidak kurang juga terdapat individu-individu yang berjuang semata-mata untuk melindungi hasrat memperkayakan diri dengan kemewahan material.
Kita tinggalkan dahulu perkara itu. Semalam, Perdana Menteri Malaysia mengumumkan bahawa terdapat pertimbangan serius dari pihak kerajaan untuk menubuhkan 'Parlimen Belia', yang fungsinya seakan salah satu medan 'suara rakyat/belia' untuk mengutarakan usul dan cadangan, yang seterusnya akan dibahaskan oleh 'abang-abang/kakak-kakak besar' di parlimen negara.
Tanpa mahu mengupas dari segi strategi/taktik/motif politik DS Najib itu, aku merasakan bahawa ini suatu peluang yang sangat baik untuk beberapa perkara berikut:
- Langkah awal untuk mematangkan, atau yang aku rasa lebih utama di fasa ini; untuk merelevankan, politik kampus
- ...yang secara tidak langsungnya, akan mempersediakan pemimpin-pemimpin politik, atau yang aku rasa lebih utama; pemimpin-pemimpin masyarakat, yang competent pada masa akan datang
- Menyediakan sarana yang baik untuk pengembangan interaksi pemikiran dan intelektual rakyat Malaysia yang bercirikan silang-budaya dan silang-agama
- Medan pertemuan dan 'kilang penghasilan' tokoh-tokoh belia di peringkat nasional dan seterusnya di peringkat global.
Aku rasa, samada hijau atau merah, biru mahupun pelangi, akan melihat perkembangan mutakhir ini sebagai salah satu peluang yang sangat berharga untuk dilepaskan.
Akan tetapi, kerisauan aku adalah, apakah parlimen yang bakal tertubuh ini akan menjadi fotostat kepada apa yang berlaku di parlimen negara sekarang?
Maksudnya, apakah parlimen belia ini akan hanya meneriakkan kembali isu-isu jelek dan sentimen-sentimen sampah yang begitu menghantui atmosfera politik negara kita sekarang? Apakah, dengan nada sinis, yang dibahaskan nanti hanyalah klip-klip youtube adegan panas tokoh-tokoh mahasiswa dan penyelewengan duit-duit kutipan kelab?
Apakah kita akan mengulangi dosa-dosa pemikiran politik sempit orang-orang terdahulu?
Jawapannya terserah kepada kita sekarang.
Sebab itu, aku merasakan, suara yang perlu diperjuangkan oleh golongan mahasiswa dan juga belia adalah suara rakyat. Perjuangan mereka adalah dengan membawa isu-isu dan keluh-kesah rakyat dalam kerangka pemikiran akademik untuk seterusnya diketengahkan secara intetelektual dihadapan para pemimpin negara.
Menyorot kembali sejarah Malaysia, tidak, bahkan juga sejarah dunia, perjuangan mahasiswa kampus yang matang akan bersikap intemediary, medium antara sang pemerintah dan rakyat. Mereka akan lantang membela nasib rakyat negara itu dan pada masa yang sama akan mengasuh dan membentuk masyarakat seperti yang dicitrakan oleh prinsip pembangunan negara yang saksama.
Masanya sudah tiba untuk kita mengakui, bahawa landasan di mana lokomotif negara kita berada sekarang sebenarnya menuju ke lembah kehancuran. Para belia sekarang harus sedar dan terjun ke medan perjuangan.
Jika tidak kita, siapa lagi? Jika tidak sekarang, bila lagi?
No comments:
Post a Comment