Pages

Sunday, June 14, 2009

I stand to be corrected

Kemelut dan polemik berpersatuan adalah bukan suatu perkara baru. Kecelaruan, seperti dikatakan oleh sesetengah pihak, bukan hanya terhad kepada hubungan inter-persatuan malah tidak salah dikatakan ianya juga 'wabak' dalam intra-persatuan. Lihat saja pada mesyuarat agung dan tahunan, tentu ada Team A atau Team B, Masing-masing, walau dengan muka manis dan berjabat salam mesra, menilai dalam hati, "dia ini orang A, ini orang B". Ini baru intra-persatuan, kalau inter-persatuan apatah lagi, bahkan mungkin tiada lagi senyuman, malangnya.

Aku bukanlah seorang yang lama dan 'seasoned' dalam perkara persatuan ini, bahkan, insyaAllah, aku tidak akan mengatakan aku ni orang senior sampai bila-bila. Ancora imparo - I'm still a learning, seperti yang tertera pada motto universitiku. Ini adalah pandanganku, (sepertimana tulisan-tulisanku sebelum ini) dan hanya valid untuk diambil dan dipertimbangkan sebagai pandangan peribadi, tidak mewakili apa-apa, dan, di dalam strata evidence hierarchy, adalah yang paling bawah sekali -personal opinion. Boleh dibuang dan dimasukkan ke dalam liang sampah kalau bertentangan dengan evidence yang lebih thiqah, atau berasal dari undisputed credible resources.

Berpersatuan, sepertimana yang aku fahami, adalah tidak lebih daripada suatu himpunan manusia untuk mencapai satu objektif yang sama, didesak dan didorong oleh suatu keperluan atau permasalahan yang diperakui wujud oleh setiap ahli. Oleh itu, 3 elemen ini sangat penting dalam menentukan kemandirian, survivality, persatuan itu - orang berkumpul, ada objektif, ada keperluan untuk berpersatuan.

Manusia adalah makhluk pencari kepastian. Manusia adalah makhluk yang tidak tegar berpijak di bumi yang goyah dan merekah, yang segera mencapai akar pokok yang menjalar tika saatnya tebing yang dipijak dirasakan mulai runtuh. Analogi ringkas ini, aku fikir, boleh menghuraikan apa yang aku fahami dengan jelas.

akar pokok = persatuan

tebing mulai runtuh = keperluan berpersatuan

bergayut pada akar supaya tidak ikut runtuh bersama tebing = objektif persatuan

Jadi, jika anda reseptif terhadap analogi ringkas ini, maka, katakanlah, jika ada salah satu aspek ini tidak wujud, maka rasional untuk berpersatuan itu sudah tidak lagi wujud. Apa perlunya bergayut pada pokok sekiranya kita tidak fikir, atau tidak sedar yang tebing itu mulai runtuh? Apa perlunya persatuan, jika kita tidak ingin pun selamat dari runtuh bersama-sama tebing ke dalam jurang yang dalam?

Tetapi, malangnya, dan memang lumrah, bukan semua ahli persatuan benar-benar faham dan jelas tentang isu ini. Bukan semua, mungkin ada dikalangan mereka merupakan ahli biasa, ahli jawatan kuasa dan malang sekali, tetapi tidak mustahil untuk berlaku, dikalangan badan pemimpin! Maka, tidak hairanlah jika wujud haluan-haluan atau 'ideologi-idealogi' minor yang berbeza. Tetapi, mohon jasa baik pembaca sekalian, untuk mengambil huraian ini sebagai penjelasan mengapa 'terjadinya' perbezaan dan bukan hujah penulis untuk 'merasionalkan' atau 'mewajarkan' perbezaan.

Persatuan adalah suatu lokomotif himpunan manusia, yang bahan bakarnya adalah semangat dan jatidiri ahli-ahli persatuan, yang kemudiannya dipandu berdasarkan kepercayaan yang dianuti. Apakah salah laku ahli-ahli boleh dikira sebagai cermin kepada kepercayaan yang dianuti mereka? Apakah salah faham yang berlaku dikalangan ahli-ahli boleh diakui sebagai apa yang 'diajar' oleh fahaman itu? Apakah senioriti mewajarkan bai'ah ta'at setia dan merasionalkan 'kebenaran' mereka?

Tetapi, pembaca sekalian, perkara-perkara inilah - walau kita cuba bersungguh-sungguh menafikan dari sudut mana pun - yang dinilai oleh orang ramai terhadap persatuan-persatuan ini. Perbalahan dan kecelaruan hasil ta'asub yang disemai didalam hati dan dizahirkan oleh hujah-hujah yang dogmatik dan ditunjangi oleh perasaan narsisistik telah merumitkan keadaan, sehingga kita, malangnya, terpesong dari tujuan utama persatuan; yakni menyedarkan khalayak bahawa tebing tempat berpijaknya kaki-kaki ini sudah mulai runtuh!

Jika kita, berada di tepi tebing itu, dalam memilih-milih akar untuk dijadikan tempat berpaut, adalah wajar untuk kita memilih akar yang kelihatan lebih 'kukuh'. Apakah akar yang kelihatan kukuh itu benar-benar mencengkam jauh ke dasar bumi, kita tidak akan tahu selagi tidak berpaut. Begitulah juga dengan khalayak ramai, persatuan yang menerampilkan imej yang lebih 'meyakinkan' dalam kotak fikiran mereka itulah yang mereka ambil. Apakah persatuan itu betul-betul 'benar', mereka sendiri pun barangkali tidak boleh menjawab.

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
As-shaff: 10

Apa yang dilihat oleh khalayak ialah 'produk' yang cuba diniagakan oleh persatuan itu. Maka, apakah salah khalayak jika mereka memilih 'produk' yang pada mereka lebih meyakinkan? Juga, bukankah lebih elok jika persatuan itu cuba 'memperelokkan' produk mereka agar lebih laris daripada menggunakan strategi mengecam produk orang lain?

Tetapi, pembaca yang budiman, akhir sekali, in the end of the day, aku percaya, soalnya kembali kepada yang pokok, yang asas, yang paling ringkas; untuk apa kita melakukan semua ini? Tanyalah kepada diri pada setiap masa, mengapakah aku buat semua ini? Apa yang aku ingin capai? Apa yang aku bawa? Apakah aku berbangga dengan banyaknya angka-angka ahli yang telah aku kumpul? apakah aku melakukan ini kerana ingin pujian dan kemasyuran sebagai pendakwah serba boleh yang tiada tolok bandingnya?

Jawablah dengan hati, para pembaca yang budiman.

Al Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.
Al-jaatsiyah: 20

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, mereka membuang muka mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.
Al-Munafiquun: 5

Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar
Al-Hujuraat: 3

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat
Al-Hujuraat: 10

Apa yang penting? Kerjasama... =)

I stand to be corrected, wallahua'alam

No comments: