Pages

Wednesday, June 10, 2009

Cinta seorang badut

Kelakar. Badut bercinta?


Badut bercinta kepada siapa, itu dia punya pasal. Badut sendiri sedar, bahawa cintanya, atau apa-apapun yang dikatanya, orang takkan ambil kisah, takkan ambil pusing. Cakap badut tidak boleh dipercaya, tidak boleh diambil serius. Badut main-main.


Tetapi badut juga manusia, dan badut juga seorang lelaki. Sampai saatnya, dia ingin merasa dikasihi, dan juga ingin mengasihi. Ingin merasa diperlukan, ingin merasa memerlukan.


Badut senyum di hadapan cermin meja solek. Dan badut tergelak terbahak-bahak. Bukan apa, sebentar tadi mukanya masam, tapi dek solekan “senyum” dibibirnya yang begitu ketara dan hiperbola, dia masih kelihatan senyum. Buatlah eksperesi manapun, dia tetap ceria. Ceria untuk menceriakan hati insan-insan yang dirasuk hiba, digundah gulana. Ceria untuk memujuk hati yang merajuk kecewa, bermuram durja.


“haha!”


“hehe!”


“huhuw!”


Derai tawa anak-anak kecil. Usikan-usikan nakalnya memang menjadi dan ditunggu-tunggu.


“Badut, joget! Joget! Yay! Yay! Yay!”


Badut akan berjoget, katanya, tapi dipintanya juga teman berjoget. Dari kalangan hadirin.


Saat dia mencari-cari, matanya terlihat seorang gadis di suatu sudut, memegang seorang budak kecil yang barangkali adiknya (bukan anak, harap-harap la!). Lalu badut pun datang dekat dan meminta izin meminjam adik gadis itu sebagai teman berjoget (walaupun hatinya meronta ingin gadis itu sebenarnya!). Anggukan setuju yang comel dan senyuman ringkas yang menawan dari gadis itu buatkan dia mabuk kepayang. Kalau tak kerana sorakan anak-anak, pasti dia lupa yang dia kena berjoget selepas itu.


Hai gadis, hai gadis…


Joget yang mulanya dirasakan seperti tarian yang membodohkan diri sendiri bertukar perlahan-lahan menjadi tarian ala-ala Shah Rukh Khan dan Kajol.


Jengok ke kanan, jengok ke kiri, main sorok-sorok bawah pokok, guling-guling atas padang. Semuanya dalam pentas fantasinya.


Hai gadis, hai gadis…


Badut sudah mabuk, sudah naik khayal, seperti kena ecstasy! Seperti kena gam!


“joget! joget! Haha!”…..


Performance hari jadi untuk anak seorang tauke balak berkesudahan dengan semua orang gembira, semua orang terhibur. Tauke balak tersenyum gembira. Helaian not RM50 dihulurkan kepada badut berupa tanda terima kasih dan upah. Lain kali, saya panggil lagi, pesan tauke balak yang bermata sepet itu.


Badut balik dengan perasaan khayal. Perasaan cinta yang mengalir dalam darah panasnya sukar dibendung. Badut terus tidur beralaskan bantal lembap yang berkulat dan bermimpikan yang indah-indah, tanpa sikit pun disedarinya yang dia masih lagi berpakaian dan bersolekkan seorang badut.


Badut terus tidur sampai entah pukul berapa…


Azan subuh alunan bilal muda Kampung Kebun Bunga mengikatnya kembali ke alam nyata.


Direnungnya meja solek ditepi katil bujang. Imej wajahnya yang macam jambatan tak siap segera tertera pada retinanya.


Badutkah aku? Akukah badut? Siapa aku?


Siapa yang kau panggil badut! Cakap jangan sebarangan!


Kamulah badut! Dasar tidak tahu diuntung! Berangan mahu puteri kayangan, cerminlah mukamu dahulu!


Apakan daya… tangan terikat dilangit, kaki terpasak dibumi, jasad tak setanding mimpi!


Badut sedar debat angan-angan itu tidak perlu diteruskan. Auditory hallucination yang dialaminya sebentar tadi tidak perlu dilayan, kalau dilayan nanti melarat pula.


Perjalanan ke tandas/bilik air belakang rumah dirasakan begitu lama, walaupun jaraknya cuma sekangkang kera. Dia hairan. Tapi kehairanan itu tidak kekal lama. Dia teringat akan konsep masa. Biasalah, 5 minit berjalan yang diisi dengan fikiran tidak sama dengan 5 minit yang diisi dengan berjalan kosong. 5 minit digunakan untuk makan maggi tidak sama dengan 5 minit menanti air menggelegak untuk masak maggi. 5 minit menanti kekasih dibangku taman bunga yang tidak berangin tidak sama dengan 5 minit dating dengan kekasih di tepi pantai.


Konsep masa begitu abstrak, begitu relatif, angguknya perlahan. Hatinya segera teringatkan konsep masa dalam Teori Relativiti oleh Albert Einstein, si saintis Yahudi yang punya fesyen rambut yang aneh, yang juga ditirunya bulat-bulat untuk watak badutnya itu. Dia juga teringatkan dialog Merovingian yang pekat dalam loghat Perancisnya dalam siri The Matrix : Reloaded “Oh yes, Morpheus, Who has Time? Who has Time?...”


Tapi hatinya lebih cepat teringatkan suatu surah di dalam Muqaddam (Al-quran dia tak sempat baca, sebab masa tingkatan 5 pun dia masih lagi tak pass-pass muqaddam, dan dia malas untuk sambung baca lagi).


“demi masa…” Wal- asr...sesungguhnya manusia kerugian...


Akulah yang rugi, keluhnya sambil cebok air kolah yang sejuk itu. Waktu mandi badut tidak fikir apa-apa, bukan kerana dia malas berfikir, ataupun puas hati dengan diskusi solonya tadi, tapi sebab air terlalu sejuk, dan tandas/bilik air itu tidak ada dinding dan atap yang lengkap, hanya kepingan zink yang sudah berkarat dan berlubang, terdedah kepada angin sejuk. Suasana itu tidak menggalakkan siapa-siapa pun mandi lama-lama. Badut malas nak repair. Apabila ditanya,“alah, siapalah yang hingin sangat mengendap aku mandi?” dengusnya acuh tak acuh.


Sesudah solat subuh, badut kembali teringatkan gadis itu. Hatinya berbelah bahagi, samada haruskah dia teruskan nafsunya mencari gadis itu atau melupakannya, dan mengganggapnya tidak lebih dari satu khayalan yang indah.


Badut sedar, bahawa untuk mencintai dan dicintai adalah salah malah berdosa, baik dari segi ‘professionnya’ juga dari segi masyarakat sosialnya. Gadis itu siapa, badut siapa. Dia anak tauke balak, badut cuma tinggal di teratak yang lantainya berlopak. ‘Kerjayanya’ sebagai badut tidak membenarkan dia punya emotional attachment dengan siapa-siapa, apatah lagi clientnya. Tugas dia adalah supaya appear to the public sebagai orang yang ceria untuk menghiburkan orang sedih, appear sebagai orang yang tiada masalah untuk bantu orang melupakan masalah. Apakah badut benar-benar ceria, apakah badut benar-benar tiada masalah, mampus tiada insan yang peduli, bertuah kalau ada yang ambil tahu.


Alahai… melepas lagi.


Tapi badut sedar, itu bukan salah siapa-siapa. Bukan salah ibu mengandung, kata orang. Bukan juga salah tauke balak mata sepet itu dan pastinya bukan salah gadis manis itu. Tapi egonya tetap ingin melawan balik mengatakan bahawa ini juga bukan salah dia! Tapi dalam hal ini, apakah “salah siapa” yang perlu dicari? Apakah semuanya selesai dengan happy ending and lived happily ever after jika ada pihak yang menanggung kesalahan?


Bukan, badut percaya, itu bukan langkah yang menyelesaikan masalah.


Sebenarnya, bukan kali pertama badut kecewa kerana cinta, bukan kali pertama hatinya remuk kerana kaum hawa. Setiap kali dia inginkan gadis-gadis, setiap kali itu jugalah niatnya dihalang. Ada saja yang nak potong stim. Malah, cintanya dengan Minah gigi rongak pun dihalang kaum kerabatnya yang entah dari mana mengaku keturunan kerabat diraja minangkabau. “ekau, jang oi, tak samo taraf dongan eden. Mano den nak taruk muko den ni haa kalau dapek monantu kojo badot? Mano pulak ekau nak cari duet nak bagi anak bini kau makan nanti haa?” kata bapak Minah gigi rongak dengan selamba dan confidentnya.


Sampai hati orang tua itu, sampai hati…


Ingin juga diperlinya orang tua itu, ketika keluar rumah Minah gigi rongak dengan satu ungkapan orang Minang(walaupun dia bukan orang minang);


"Tak ada ranggas ditanjung
Cuma nak ampaian kain
Tak ada emas dikandung (kalau awak tidak ada emas/kemewahan)
Dunsanak jadi rang lain" (anak gadis jadi milik orang lain).


tapi niatnya itu segera dibatalkan, sebab belum tentu mereka itu, walaupun mengaku kerabat diraja Minang, tahu dan mengerti peribahasa Minang yang sarat dengan kata-kata yang indah yang penuh pengertian. Menghargai pun barangkali jauh sekali.


Tapi itu kisah lama, dah dibuangnya jauh-jauh dan tak disimpannya lagi di dalam peti. Badut cekalkan hati, tekadkan azam, bahawa dia harus cepat sedar dan conscious; dia memang seorang badut. Biarpun bagaimana teruknya beban yang terpaksa dikandung dek kerana semata-mata dia seorang badut (walaupun sumber bebanan itu berasal dari orang lain seperti stigma dan salah anggap) dia tetap seorang badut! Biarpun bagaimana murni kerjanya sebagai orang yang ‘merawat’ hati (kadangkala dia berangan dia seorang doktor; doktor hati) di dalam masyarakat, dia tetap seorang pariah, seorang badut!.


Apa yang mampu merubah semua ini hanyalah dia. Dia tak boleh ubah persepsi orang, dia takkan mampu pun ubah persepsi orang. Dialah yang boleh merubah dirinya. Hanya dia. Dia mesti berdepan dengan realiti, menggunakan apa yang ada, dan berubah secara sistematik.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Baqarah 2:216

Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat." al-Hijr 15:56.


Apa-apalah.


Pembaca yang budiman, anda percaya kata-kata badut ini? Dia merepek saja! =)

3 comments:

Anonymous said...

hahahahh!
ayat yang lawak.
:DD

Mahirah M said...

cerita yang indah :)

apa yang ada dalam tangan itulah sebenarnya rezeki kita. but we often look forward to things that arent within our grasps rather than looking down with gratefulness whats already in our hand :)

ps: kirim salam kat badut yea. cakap pada dia, good luck, and life goes on :D

fitri ezwan said...

salaam

to shakinah
yang mana yang lawak? hehe

to M.M
terima kasih!

macam mana nak kirim salam ni, badut tu watak rekaan, kalau ada yang sama, ia adalah kebetulan semata =)