Pages

Thursday, June 25, 2009

Blog

Blogging dah menjadi satu fenomena, mungkin dah lama sebenarnya, cuma aku yang lambat perasan. Hampir 1/3 rakan-rakanku punyai paling kurang sebuah blog. Aktif tak aktif itu cerita lain.

Kenapa blog? Ada apa dengan blog?

Aku teringat seorang sahabat pernah berkata "awak (ya, dia guna awak) tak rasa macam awak membuka cerita awak pada orang ramai untuk baca? Tak segan ke?"

Bagi aku, semuanya bergantung kepada niat masing-masing, kenapa dan untuk apa dia berblog. Salah satu tabiat manusia ialah ia mahu meluahkan perasaan. Caranya berbeza-beza. Mereka yang lebih vocal dan outspoken akan meluahkan apa yang terbuku di hati time tu jugak, apa nak jadi, jadi, lain belakang kira, jangan pandang belakang beb. Dan, di satu penghujung spektrum pula, orang yang ingin meluahkan perasaan tetapi sudah putus harapan pada apa-apa, mungkin memilih untuk bunuh diri sebagai satu manifestation atau testimony apa yang terbuku di hati. Ada pula orang memilih untuk meluahkan perasaan melalui perkataan...

Bidang psikiatri, walaupun aku tidaklah berminat sangat, banyak mengajar aku mengenal bagaimana manusia berfungsi secara holistic (menyeluruh, kebelakaan). Bagaimana benda-benda zahir dan fizik sebagai cermin apa yang sedang bergelora di dalam ruh, atau perasaan. Bagaimana hendak mengenal sifat-sifat manusia yang dapat diterjemahkan sebagai defensive mechanism kepada kekurangan atau kecacatan sifat peribadi. Bagaimana hendak menilai sejauh mana insan itu boleh handle atau cope kepada stressor yang dialami. Dan bermacam-macam lagi.

Jika diimbas secara sekali lalu, secara amnya, aku suka untuk melihat semua ini dalam suatu bentuk rumus, atau persamaan, an equation. Begini:
Duh, common sense!

Ya, aku tau, memang common sense, tidak perlulah seorang saintis roket untuk menerbitkan rumus ini (kenapa saintis roket?).

Tetapi, yang common sense, yang basic inilah yang selalu kita lupa, saudara-saudari sekelian (termasuklah yang menulis ini). Manusia, kecuali yang maksum, tidak terlepas dari melakukan sebarang kesalahan, dari terus menerus diburu oleh seribu satu masalah. Dan, memang, manusia apabila dikenakan suatu stressor, dia akan bertindakbalas. Apakah tindakbalas, reaction itu ke arah positif atau negatif, tepuk dada, tanya iman.

Tetapi, amat malanglah jika kita sendiri tidak dapat mengenal pasti sikap dan perangai peribadi. Amat malanglah jika kita sendiri tidak sedar reaction kita terhadap masalah yang kita hadapi itu sebenarnya suatu reaction yang negatif, yang counter-productive. Nah, disinilah peri pentingnya pengaruh elemen-elemen lain, i.e. pengaruh sekeliling, ilmu dan natural instinct. Elemen-elemen inilah, jika di'sekolah'kan dan di'ajar'kan dengan betul, mampu menolong kita saatnya dinding pertahanan diri mulai runtuh.

Tidak ada indahnya dengan proses 'menyekolahkan' atau 'mendidik' elemen-elemen ini, tidak ada senangnya untuk memastikan bahawa instinct kita akan memilih benda yang positif jika berhadapan dengan situasi kritikal, penuh dengan tekanan. Proses ini bukan berlaku overnight, bukan seminit dua, tapi memakan masa. Mungkin ada yang patah semangat ditengah-tengah jalan, relapse, dan ada yang bangkit semula.

Tetapi, walau dibayangi dengan pelbagai kepayahan dan perit jerih, aku rasa (personal opinion ni) inilah yang perlu kita lakukan. Kita, tidak dapat tidak, akan menjadi semakin dewasa, mula dibebani dengan komitmen-komitmen lain, dengan expectation to perform. Makin kita menjalani titi usia, makin kita perlu melakukan keputusan yang berat-berat, makin kita teliti dengan setiap keputusan diambil, makin kita pesimis dan bukan optimis.

Menyeramkan? Inilah usia dewasa. Sebab itu barangkali usia muda 'rumaja' dikatakan sebagai usia keseronokan. Kita lebih optimis barangkali, dan sebarang keputusan yang kita ambil, kita tidak perlu menghadapi akibatnya secara lansung; kita tidak boleh dihukum gantung, buat salah mak bapak punya nama yang kena "Hei, anak sapaaa ni? Loqlaq betui!". Oleh itu, ape de hal, buat salah pun takde apa-apa, layan je la!

Tetapi, seperti yang dikatakan diatas, elemen-elemen seperti instinct, ilmu, suasana perlu di'asah' sejak dari umur ini lagi. Aku rasa, being an adult is being accountable to any of our action, seperti juga yang Dr Nada cakapkan dulu ".. it's what the person does in self-defense and cara orang tu selesaikan masalah". Bukannya semata-mata bertukar dari Kiki-Lala kepada Levi's =)

Tidak ada indahnya, tidak ada seronoknya meninggalkan semua ini, lebih-lebih lagi pada usia ini. Sebab itulah rasanya, antara 7 golongan manusia yang mendapat naungan di hari akhirat ialah pemuda yang hatinya sentiasa mengingati Allah (Rujuk Hadis Riwayat Abu Daud, Tirmidzi dan Ibnu Majah). Barangkali susah menghadapi ujian ini, barangkali ini golongan cemerlang, golongan berharga kepada agama, bangsa dan negara.

Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
(Al mu'minuun: 115)


Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi? (al-ankabuut:2)

Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta (al-ankabuut:3)


Er, apa kena mengena blog dengan benda yang aku bebelkan ini?

Sunday, June 21, 2009

=)


"Excuse me, do you speak English?"

"No, I don't, sorry...No, not a word..I wish I had paid more attention in school..."

"English?...No....No, I'm sorry, I don't understand it at all"

"Ich spreche ein biβchen Deutsch. Sprechen Sie Deutsch?

"Deutsch? Nein...Sprichst du Deutsch?"

"Deutsch? Nein...nür ein, zwei worte..."
"Hey, you'll never know, next time you over, maybe we would have learned a little bit English for you"

"
Ja, oder Deutsch vielleicht..."

Wednesday, June 17, 2009

-_-

Pesakit 1.

"Apa ni doktor, lambat sangat menunggu ni apa hal? Kami semua ada kerja la, doc. Bukannya kami free satu hari nak jumpa doktor ni. Dari pagi saya tunggu, tengah hari baru boleh jumpa, cepatlah sikit kalau ye pon. Jangan buat orang marah menunggu-nunggu...."

Pesakit 2.

"Aik, dah ? Tunggu sikit punya lama, sekali dapat jumpa, tak sampai 5 minit je ? Apa ni, takkan menunggu berjam-jam semata-mata nak jumpa 5 minit je. Ingat kami ni menagih simpati ke doktor ? Kami bayar la ! ...."


Haih, saya yang sedia berkhidmat.

Fitri ezwan...

Sunday, June 14, 2009

I stand to be corrected

Kemelut dan polemik berpersatuan adalah bukan suatu perkara baru. Kecelaruan, seperti dikatakan oleh sesetengah pihak, bukan hanya terhad kepada hubungan inter-persatuan malah tidak salah dikatakan ianya juga 'wabak' dalam intra-persatuan. Lihat saja pada mesyuarat agung dan tahunan, tentu ada Team A atau Team B, Masing-masing, walau dengan muka manis dan berjabat salam mesra, menilai dalam hati, "dia ini orang A, ini orang B". Ini baru intra-persatuan, kalau inter-persatuan apatah lagi, bahkan mungkin tiada lagi senyuman, malangnya.

Aku bukanlah seorang yang lama dan 'seasoned' dalam perkara persatuan ini, bahkan, insyaAllah, aku tidak akan mengatakan aku ni orang senior sampai bila-bila. Ancora imparo - I'm still a learning, seperti yang tertera pada motto universitiku. Ini adalah pandanganku, (sepertimana tulisan-tulisanku sebelum ini) dan hanya valid untuk diambil dan dipertimbangkan sebagai pandangan peribadi, tidak mewakili apa-apa, dan, di dalam strata evidence hierarchy, adalah yang paling bawah sekali -personal opinion. Boleh dibuang dan dimasukkan ke dalam liang sampah kalau bertentangan dengan evidence yang lebih thiqah, atau berasal dari undisputed credible resources.

Berpersatuan, sepertimana yang aku fahami, adalah tidak lebih daripada suatu himpunan manusia untuk mencapai satu objektif yang sama, didesak dan didorong oleh suatu keperluan atau permasalahan yang diperakui wujud oleh setiap ahli. Oleh itu, 3 elemen ini sangat penting dalam menentukan kemandirian, survivality, persatuan itu - orang berkumpul, ada objektif, ada keperluan untuk berpersatuan.

Manusia adalah makhluk pencari kepastian. Manusia adalah makhluk yang tidak tegar berpijak di bumi yang goyah dan merekah, yang segera mencapai akar pokok yang menjalar tika saatnya tebing yang dipijak dirasakan mulai runtuh. Analogi ringkas ini, aku fikir, boleh menghuraikan apa yang aku fahami dengan jelas.

akar pokok = persatuan

tebing mulai runtuh = keperluan berpersatuan

bergayut pada akar supaya tidak ikut runtuh bersama tebing = objektif persatuan

Jadi, jika anda reseptif terhadap analogi ringkas ini, maka, katakanlah, jika ada salah satu aspek ini tidak wujud, maka rasional untuk berpersatuan itu sudah tidak lagi wujud. Apa perlunya bergayut pada pokok sekiranya kita tidak fikir, atau tidak sedar yang tebing itu mulai runtuh? Apa perlunya persatuan, jika kita tidak ingin pun selamat dari runtuh bersama-sama tebing ke dalam jurang yang dalam?

Tetapi, malangnya, dan memang lumrah, bukan semua ahli persatuan benar-benar faham dan jelas tentang isu ini. Bukan semua, mungkin ada dikalangan mereka merupakan ahli biasa, ahli jawatan kuasa dan malang sekali, tetapi tidak mustahil untuk berlaku, dikalangan badan pemimpin! Maka, tidak hairanlah jika wujud haluan-haluan atau 'ideologi-idealogi' minor yang berbeza. Tetapi, mohon jasa baik pembaca sekalian, untuk mengambil huraian ini sebagai penjelasan mengapa 'terjadinya' perbezaan dan bukan hujah penulis untuk 'merasionalkan' atau 'mewajarkan' perbezaan.

Persatuan adalah suatu lokomotif himpunan manusia, yang bahan bakarnya adalah semangat dan jatidiri ahli-ahli persatuan, yang kemudiannya dipandu berdasarkan kepercayaan yang dianuti. Apakah salah laku ahli-ahli boleh dikira sebagai cermin kepada kepercayaan yang dianuti mereka? Apakah salah faham yang berlaku dikalangan ahli-ahli boleh diakui sebagai apa yang 'diajar' oleh fahaman itu? Apakah senioriti mewajarkan bai'ah ta'at setia dan merasionalkan 'kebenaran' mereka?

Tetapi, pembaca sekalian, perkara-perkara inilah - walau kita cuba bersungguh-sungguh menafikan dari sudut mana pun - yang dinilai oleh orang ramai terhadap persatuan-persatuan ini. Perbalahan dan kecelaruan hasil ta'asub yang disemai didalam hati dan dizahirkan oleh hujah-hujah yang dogmatik dan ditunjangi oleh perasaan narsisistik telah merumitkan keadaan, sehingga kita, malangnya, terpesong dari tujuan utama persatuan; yakni menyedarkan khalayak bahawa tebing tempat berpijaknya kaki-kaki ini sudah mulai runtuh!

Jika kita, berada di tepi tebing itu, dalam memilih-milih akar untuk dijadikan tempat berpaut, adalah wajar untuk kita memilih akar yang kelihatan lebih 'kukuh'. Apakah akar yang kelihatan kukuh itu benar-benar mencengkam jauh ke dasar bumi, kita tidak akan tahu selagi tidak berpaut. Begitulah juga dengan khalayak ramai, persatuan yang menerampilkan imej yang lebih 'meyakinkan' dalam kotak fikiran mereka itulah yang mereka ambil. Apakah persatuan itu betul-betul 'benar', mereka sendiri pun barangkali tidak boleh menjawab.

Hai orang-orang yang beriman, sukakah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang dapat menyelamatkanmu dari azab yang pedih?
As-shaff: 10

Apa yang dilihat oleh khalayak ialah 'produk' yang cuba diniagakan oleh persatuan itu. Maka, apakah salah khalayak jika mereka memilih 'produk' yang pada mereka lebih meyakinkan? Juga, bukankah lebih elok jika persatuan itu cuba 'memperelokkan' produk mereka agar lebih laris daripada menggunakan strategi mengecam produk orang lain?

Tetapi, pembaca yang budiman, akhir sekali, in the end of the day, aku percaya, soalnya kembali kepada yang pokok, yang asas, yang paling ringkas; untuk apa kita melakukan semua ini? Tanyalah kepada diri pada setiap masa, mengapakah aku buat semua ini? Apa yang aku ingin capai? Apa yang aku bawa? Apakah aku berbangga dengan banyaknya angka-angka ahli yang telah aku kumpul? apakah aku melakukan ini kerana ingin pujian dan kemasyuran sebagai pendakwah serba boleh yang tiada tolok bandingnya?

Jawablah dengan hati, para pembaca yang budiman.

Al Quran ini adalah pedoman bagi manusia, petunjuk dan rahmat bagi kaum yang meyakini.
Al-jaatsiyah: 20

Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, mereka membuang muka mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.
Al-Munafiquun: 5

Sesungguhnya orang yang merendahkan suaranya di sisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka oleh Allah untuk bertakwa. Bagi mereka ampunan dan pahala yang besar
Al-Hujuraat: 3

Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat
Al-Hujuraat: 10

Apa yang penting? Kerjasama... =)

I stand to be corrected, wallahua'alam

Wednesday, June 10, 2009

Cinta seorang badut

Kelakar. Badut bercinta?


Badut bercinta kepada siapa, itu dia punya pasal. Badut sendiri sedar, bahawa cintanya, atau apa-apapun yang dikatanya, orang takkan ambil kisah, takkan ambil pusing. Cakap badut tidak boleh dipercaya, tidak boleh diambil serius. Badut main-main.


Tetapi badut juga manusia, dan badut juga seorang lelaki. Sampai saatnya, dia ingin merasa dikasihi, dan juga ingin mengasihi. Ingin merasa diperlukan, ingin merasa memerlukan.


Badut senyum di hadapan cermin meja solek. Dan badut tergelak terbahak-bahak. Bukan apa, sebentar tadi mukanya masam, tapi dek solekan “senyum” dibibirnya yang begitu ketara dan hiperbola, dia masih kelihatan senyum. Buatlah eksperesi manapun, dia tetap ceria. Ceria untuk menceriakan hati insan-insan yang dirasuk hiba, digundah gulana. Ceria untuk memujuk hati yang merajuk kecewa, bermuram durja.


“haha!”


“hehe!”


“huhuw!”


Derai tawa anak-anak kecil. Usikan-usikan nakalnya memang menjadi dan ditunggu-tunggu.


“Badut, joget! Joget! Yay! Yay! Yay!”


Badut akan berjoget, katanya, tapi dipintanya juga teman berjoget. Dari kalangan hadirin.


Saat dia mencari-cari, matanya terlihat seorang gadis di suatu sudut, memegang seorang budak kecil yang barangkali adiknya (bukan anak, harap-harap la!). Lalu badut pun datang dekat dan meminta izin meminjam adik gadis itu sebagai teman berjoget (walaupun hatinya meronta ingin gadis itu sebenarnya!). Anggukan setuju yang comel dan senyuman ringkas yang menawan dari gadis itu buatkan dia mabuk kepayang. Kalau tak kerana sorakan anak-anak, pasti dia lupa yang dia kena berjoget selepas itu.


Hai gadis, hai gadis…


Joget yang mulanya dirasakan seperti tarian yang membodohkan diri sendiri bertukar perlahan-lahan menjadi tarian ala-ala Shah Rukh Khan dan Kajol.


Jengok ke kanan, jengok ke kiri, main sorok-sorok bawah pokok, guling-guling atas padang. Semuanya dalam pentas fantasinya.


Hai gadis, hai gadis…


Badut sudah mabuk, sudah naik khayal, seperti kena ecstasy! Seperti kena gam!


“joget! joget! Haha!”…..


Performance hari jadi untuk anak seorang tauke balak berkesudahan dengan semua orang gembira, semua orang terhibur. Tauke balak tersenyum gembira. Helaian not RM50 dihulurkan kepada badut berupa tanda terima kasih dan upah. Lain kali, saya panggil lagi, pesan tauke balak yang bermata sepet itu.


Badut balik dengan perasaan khayal. Perasaan cinta yang mengalir dalam darah panasnya sukar dibendung. Badut terus tidur beralaskan bantal lembap yang berkulat dan bermimpikan yang indah-indah, tanpa sikit pun disedarinya yang dia masih lagi berpakaian dan bersolekkan seorang badut.


Badut terus tidur sampai entah pukul berapa…


Azan subuh alunan bilal muda Kampung Kebun Bunga mengikatnya kembali ke alam nyata.


Direnungnya meja solek ditepi katil bujang. Imej wajahnya yang macam jambatan tak siap segera tertera pada retinanya.


Badutkah aku? Akukah badut? Siapa aku?


Siapa yang kau panggil badut! Cakap jangan sebarangan!


Kamulah badut! Dasar tidak tahu diuntung! Berangan mahu puteri kayangan, cerminlah mukamu dahulu!


Apakan daya… tangan terikat dilangit, kaki terpasak dibumi, jasad tak setanding mimpi!


Badut sedar debat angan-angan itu tidak perlu diteruskan. Auditory hallucination yang dialaminya sebentar tadi tidak perlu dilayan, kalau dilayan nanti melarat pula.


Perjalanan ke tandas/bilik air belakang rumah dirasakan begitu lama, walaupun jaraknya cuma sekangkang kera. Dia hairan. Tapi kehairanan itu tidak kekal lama. Dia teringat akan konsep masa. Biasalah, 5 minit berjalan yang diisi dengan fikiran tidak sama dengan 5 minit yang diisi dengan berjalan kosong. 5 minit digunakan untuk makan maggi tidak sama dengan 5 minit menanti air menggelegak untuk masak maggi. 5 minit menanti kekasih dibangku taman bunga yang tidak berangin tidak sama dengan 5 minit dating dengan kekasih di tepi pantai.


Konsep masa begitu abstrak, begitu relatif, angguknya perlahan. Hatinya segera teringatkan konsep masa dalam Teori Relativiti oleh Albert Einstein, si saintis Yahudi yang punya fesyen rambut yang aneh, yang juga ditirunya bulat-bulat untuk watak badutnya itu. Dia juga teringatkan dialog Merovingian yang pekat dalam loghat Perancisnya dalam siri The Matrix : Reloaded “Oh yes, Morpheus, Who has Time? Who has Time?...”


Tapi hatinya lebih cepat teringatkan suatu surah di dalam Muqaddam (Al-quran dia tak sempat baca, sebab masa tingkatan 5 pun dia masih lagi tak pass-pass muqaddam, dan dia malas untuk sambung baca lagi).


“demi masa…” Wal- asr...sesungguhnya manusia kerugian...


Akulah yang rugi, keluhnya sambil cebok air kolah yang sejuk itu. Waktu mandi badut tidak fikir apa-apa, bukan kerana dia malas berfikir, ataupun puas hati dengan diskusi solonya tadi, tapi sebab air terlalu sejuk, dan tandas/bilik air itu tidak ada dinding dan atap yang lengkap, hanya kepingan zink yang sudah berkarat dan berlubang, terdedah kepada angin sejuk. Suasana itu tidak menggalakkan siapa-siapa pun mandi lama-lama. Badut malas nak repair. Apabila ditanya,“alah, siapalah yang hingin sangat mengendap aku mandi?” dengusnya acuh tak acuh.


Sesudah solat subuh, badut kembali teringatkan gadis itu. Hatinya berbelah bahagi, samada haruskah dia teruskan nafsunya mencari gadis itu atau melupakannya, dan mengganggapnya tidak lebih dari satu khayalan yang indah.


Badut sedar, bahawa untuk mencintai dan dicintai adalah salah malah berdosa, baik dari segi ‘professionnya’ juga dari segi masyarakat sosialnya. Gadis itu siapa, badut siapa. Dia anak tauke balak, badut cuma tinggal di teratak yang lantainya berlopak. ‘Kerjayanya’ sebagai badut tidak membenarkan dia punya emotional attachment dengan siapa-siapa, apatah lagi clientnya. Tugas dia adalah supaya appear to the public sebagai orang yang ceria untuk menghiburkan orang sedih, appear sebagai orang yang tiada masalah untuk bantu orang melupakan masalah. Apakah badut benar-benar ceria, apakah badut benar-benar tiada masalah, mampus tiada insan yang peduli, bertuah kalau ada yang ambil tahu.


Alahai… melepas lagi.


Tapi badut sedar, itu bukan salah siapa-siapa. Bukan salah ibu mengandung, kata orang. Bukan juga salah tauke balak mata sepet itu dan pastinya bukan salah gadis manis itu. Tapi egonya tetap ingin melawan balik mengatakan bahawa ini juga bukan salah dia! Tapi dalam hal ini, apakah “salah siapa” yang perlu dicari? Apakah semuanya selesai dengan happy ending and lived happily ever after jika ada pihak yang menanggung kesalahan?


Bukan, badut percaya, itu bukan langkah yang menyelesaikan masalah.


Sebenarnya, bukan kali pertama badut kecewa kerana cinta, bukan kali pertama hatinya remuk kerana kaum hawa. Setiap kali dia inginkan gadis-gadis, setiap kali itu jugalah niatnya dihalang. Ada saja yang nak potong stim. Malah, cintanya dengan Minah gigi rongak pun dihalang kaum kerabatnya yang entah dari mana mengaku keturunan kerabat diraja minangkabau. “ekau, jang oi, tak samo taraf dongan eden. Mano den nak taruk muko den ni haa kalau dapek monantu kojo badot? Mano pulak ekau nak cari duet nak bagi anak bini kau makan nanti haa?” kata bapak Minah gigi rongak dengan selamba dan confidentnya.


Sampai hati orang tua itu, sampai hati…


Ingin juga diperlinya orang tua itu, ketika keluar rumah Minah gigi rongak dengan satu ungkapan orang Minang(walaupun dia bukan orang minang);


"Tak ada ranggas ditanjung
Cuma nak ampaian kain
Tak ada emas dikandung (kalau awak tidak ada emas/kemewahan)
Dunsanak jadi rang lain" (anak gadis jadi milik orang lain).


tapi niatnya itu segera dibatalkan, sebab belum tentu mereka itu, walaupun mengaku kerabat diraja Minang, tahu dan mengerti peribahasa Minang yang sarat dengan kata-kata yang indah yang penuh pengertian. Menghargai pun barangkali jauh sekali.


Tapi itu kisah lama, dah dibuangnya jauh-jauh dan tak disimpannya lagi di dalam peti. Badut cekalkan hati, tekadkan azam, bahawa dia harus cepat sedar dan conscious; dia memang seorang badut. Biarpun bagaimana teruknya beban yang terpaksa dikandung dek kerana semata-mata dia seorang badut (walaupun sumber bebanan itu berasal dari orang lain seperti stigma dan salah anggap) dia tetap seorang badut! Biarpun bagaimana murni kerjanya sebagai orang yang ‘merawat’ hati (kadangkala dia berangan dia seorang doktor; doktor hati) di dalam masyarakat, dia tetap seorang pariah, seorang badut!.


Apa yang mampu merubah semua ini hanyalah dia. Dia tak boleh ubah persepsi orang, dia takkan mampu pun ubah persepsi orang. Dialah yang boleh merubah dirinya. Hanya dia. Dia mesti berdepan dengan realiti, menggunakan apa yang ada, dan berubah secara sistematik.


Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui. Baqarah 2:216

Ibrahim berkata: "Tidak ada orang yang berputus asa dari rahmat Tuhan-nya, kecuali orang-orang yang sesat." al-Hijr 15:56.


Apa-apalah.


Pembaca yang budiman, anda percaya kata-kata badut ini? Dia merepek saja! =)

Tuesday, June 02, 2009

penanda buku

Pagi tadi, aku menerima sepucuk surat dan di dalamnya ada sebuah penanda buku. Hadiah hari jadi, kata pengirim surat itu.

Tertera pada penanda buku itu "rahsia kelahiran bulan Jun", bersumberkan Dato' Dr. Fadzilah Kamsah, diterbitkan oleh Darul Nu'man.

Aku tersengih melihat senarai itu. Bukanlah kerana aku percaya 100%, dan tidaklah pula aku bermaksud menolak 100%, cuma tergelak memikirkan bagaimanalah pengirim itu tergerak hati nak mengirimkan barang yang sedemikian rupa. Dia tahu, aku bukanlah penggemar ramalan zodiak atau apa-apa yang sewaktu dengannya.

Pun begitu, terima kasih!. Kebetulan, aku memang sedang mencari penanda buku untuk beberapa buku yang baru dibeli. Terima kasih, sekali lagi.

Rahsia kelahiran bulan Jun

  • bersikap suka menangguh-nangguh
  • berfikiran jauh dan berwawasan
  • mudah ditawan kerana sikap baik
  • berperangai lemah lembut
  • mudah berubah sikap, perangai dan mood
  • idea yang terlalu banyak di kepala
  • bersikap sensitif dan mudah berkecil hati
  • mempunyai fikiran yang aktif (sentiasa berfikir)
  • sukar melakukan sesuatu dengan segera
  • bersikap terlalu memilih dan mahukan yang terbaik
  • cepat marah & cepat sejuk
  • suka bercakap dan berdebat
  • suka buat lawak dan bergurau
  • otaknya cerdas berangan-angan
  • mudah berkawan dan pandai berkawan
  • orang yang sangat tertib dan suka berkemas
  • mudah kena selsema
  • cepat rasa bosan
  • sikap terlalu memilih dan cerewet
  • lambat untuk sembuh apabila terluka hatinya
  • suka pada barangan berjenama
  • mudah menjadi eksekutif
  • kedegilan yang tidak terkawal
  • sesiapa yang memuji dianggap lawan, sesiapa yang menegur dianggap kawan

Samada ya atau tidak, betul ataupun tak, kenalah tanya pada dia yang mengirim =)