Pages

Friday, December 11, 2009

Kakik.

Hari ini genap setahun datukku, Allahyarham Hj. Ikhwan bin Hj. Sangit meninggalkan aku dan keluarga dan sanak saudara tercinta.

Aku teringat, tahun lepas, berita menyedihkan ini dikhabarkan oleh ibu sebaik sahaja aku selesai supplementary exam. Aku tak terkata apa-apa, sedih, dan bergegas pulang dari Johor Bahru ke Selangor pada petang itu juga.

Aku agak rapat dengan Allahyarham. Allahyarham suka bertanya tentang cita-cita dan perancangan hidup kepada setiap cucunya, tak kira umur, dan sering gelak bersama-sama apabila diberi jawapan-jawapan nakal oleh cucunya. Barangkali itu cara Allahyarham mendidik dan menyampaikan pesanan secara tak lansung, mendewasakan cucunya tentang cabaran dan dugaan hidup di masa depan, barangkali...

Allahyarham dulu cukup garang. Aku teringat masa kecil dulu, Allahyarham menyimpan jambang dan janggut yang panjang, sehingga digelar oleh masyarakat sekeliling 'Tuk Janggot'. Aku, secara naive-nya, pernah menganggap pahlawan Tuk Janggut dalam sejarah Tanah Melayu itu adalah datukku tatkala pertama kali mendengarnya! Allahyarham sangat strict dalam memastikan cucu-cucunya, terutama yang lelaki, untuk bersembahyang jemaah. Aku pernah dihambat kerana tengok doraemon ketika azan maghrib. Tapi, lama-kelamaan, garangnya mulai sejuk, dah tua barangkali, dan rasanya adikku Anis Arina dan Fareez Daniel mungkin tak pernah dimarahi oleh Allahyarham.

Bila tiba hari lebaran, Allahyarhamlah yang paling sibuk. Awal-awal puasa lagi Allahyarham akan menelefon dan bertanya adakah cucu-cucunya akan beraya dirumahnya, walaupun Allahyarham tahu giliran raya anak-anaknya. Allahyarham akan memasang pelita dan beli banyak mercun. Entah mana dapatnya. Malam tujuh likur, setelah pulang dari masjid, Allahyarham akan duduk di tangga dan melihat gelagat cucu-cucunya bermain, bercakap-cakap dalam bahasa Jawa pekat campur Melayu pelat.

Aku adalah antara cucunya yang kurang mahir berbahasa Jawa. Jadi Allahyarham cuma cakap Melayu pelat denganku. Aku masih teringat, betapa jernihnya mata Allahyarham bila aku khabarkan kepadanya tentang berita aku diterima masuk ke universiti luar negeri, belajar 'doktor'. Allahyarham begitu gembira, sering memberitahu orang kampung biarpun mereka tak kenal siapa aku. Walaupun Allahyarham tak berapa faham sebenarnya, kerana beberapa maklumat tentang perjalanan pengajianku agak asing buatnya, tapi perkara asas dia faham - universiti, luar negeri, doktor. Satu-satunya orang dalam keluarga besarnya yang pernah menjejakkan kaki ke universiti.

Aku masih teringat saat Allahyarham menghantar aku di KLIA. Allahyarham tak putus-putus memberikan nasihat. Kadang-kadang, aku tergelak bila memikirkan saat itu. Mana taknya, aku rasa, akulah yang paling banyak membawa 'rombongan menghantar'. Barangkali seluruh sanak saudara dari kedua-dua belah pihak hadir, kecoh juga hari itu. Biarlah, aku gembira dan aku bangga, bukan kerana ramainya orang yang menghantar aku, tapi kerana aku dapat buat something yang boleh dibanggakan oleh seluruh ahli keluargaku - seorang anak kampung belajar tinggi-tinggi. Kejayaanku bukan untuk aku, tapi untuk mereka semua.

Dan segala-galanya bermain kembali, saat aku turut serta memandikan jenazah Allahyarham. Hampir menitis air mata ketika itu, wajah Allahyarham menasihati aku, membelai aku disaat kecil, mendidik aku mengaji Al-Quran dan sembahyang, bergurau denganku, silih berganti pada setiap detik... alangkah pilunya hari itu, alangkah sedihnya perjalanan menghantar jenazah ke liang lahad...

Aku agak terkilan kerana Allahyarham tak sempat melihat aku graduate, kerana Allahyarham sering bertanya-tanya tentang hari dimana semua orang pakai jubah (conferment of degree/convocation). Agak terkilan kerana banyak lagi benda-benda yang tak dapat aku tunjukkan kepadanya, tak dapat melihat beliau tersenyum bangga...

Dan malam ini, aku rindu padanya.

Kutitipkan doa dan salam rindu padamu. Moga ruhnya dicucuri rahmat.

Al-fatihah.



4 comments:

arcane said...

al-fatihah

:') ...any people who knows u would be proud of u...

anamunawwarah said...

salaam~

alfatihah...

=)


p/s:'kakik' is always sounds classic to me.hehe

Fitri Ezwan said...

wslm

to arcane: mudah-mudahan. tq


to ana: =)

Nada Syazana said...

I'm late but takziah nonetheless :)

Aku rasa ni post ko yang paling sehijau warna daun. You should seriously, seriously consider doing Malay literature. Be the next A.Samad Said. No kidding. At all.